Isteri Solehah

 

Assalamualaikum, hari ini saya akan menulis satu tajuk yang dekat di hati: Isteri Solehah, dalam bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Saya nak cuba menulis dalam bahasa ibunda.

Kisah seorang isteri solehah

Baru-baru ini saya ada berbual dengan seorang sahabat, bertanyakan khabar tentang ibunya dan antara isi perbualan kami adalah bagaimana untuk menjadi isteri solehah.
 
Apabila saya sudah berkahwin, prioriti dalam hidup saya sudah berubah. Seiring dengan nota perjalanan hidup yang sentiasa berubah, tiada apa yang tetap dan akan sentiasa ada turun naiknya. Kita perlu mengadaptasikan diri dengan perubahan dan apa yang lebih penting perlu didahulukan. 
 
Ibu sahabat saya sedang sakit sekarang dan kadang-kala saya teringat akan bagaimana beliau adalah salah seorang tokoh yang memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi seorang isteri solehah. Semoga Allah menyembuhkan beliau secepat mungkin. Amin.
 
Ketika saya di zaman universiti, saya pernah tinggal di rumah sahabat saya ni satu malam. Keesokan paginya, kami menolong ibu sahabat saya untuk membuat sarapan dan kemudian apabila hampir waktu makan tengahari kami bersama-sama masak di dapur. 
 
Tetapi apa yang membuat saya sangat ‘amazed’ dengan beliau adalah kerana……. apabila sudah siap masak, beliau mandi, berdandan, memakai baju yang cantik dan kemudian menunggu di hadapan pintu menanti kepulangan suami beliau. 
 
Ayah sahabat saya adalah seorang pensyarah di sebuah universiti yang berdekatan dengan rumahnya. Jadi ayahnya pulang untuk makan tengahari. 
 
Apabila suami beliau tiba di pintu rumah, disalam tangan suaminya dan diberikan senyuman yang manis untuk suami beliau.
 
Inilah….yang saya tak akan dapat lupakan sampai ke hari ini. Satu nasihat yang tidak ternilai untuk saya yang bukan dari kata-kata tetapi dari akhlak dan adab beliau terhadap suami. 
 

Teringat saya akan sabda Rasulullah SAW,

اَلدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah isteri solehah.”

-HR Muslim
Sesungguhnya saya bertuah kerana mempunyai seorang sahabat yang dapat memalitkan keharuman wangiannya kepada saya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud.
 

Dari Abu Musa RA, ia berkata : Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan teman duduk yang soleh dan teman duduk yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi, tidak boleh tidak akan kamu dapati dari penjual minyak wangi itu, boleh jadi kamu membelinya atau mencium bau harumnya, sedangkan tukang besi membakar badanmu atau pakaianmu atau kamu mencium bau busuknya”

-HR. Bukhari -Volume 7, Book 67, Number 442
 
Semoga Allah merahmati sahabat saya dan keluarganya dengan kasih sayangNya. Amin.
 

Tips menjadi isteri solehah

Banyakkan menimba ilmu rumahtangga

Kembali kepada perbualan kami tentang bagaimana untuk menjadi isteri solehah, sahabat saya mencadangkan saya untuk mendengar slot Pesona D´Zahra dari siaran Radio IKIM (Institusi Kefahaman Islam Malaysia).
 
Pesona D´Zahra ini dikelolakan oleh Ustaz Muhammad bin Abdullah (Ustaz Al-Amin) bersama DJ IKIM membincangkan membincangkan isu-isu rumahtangga dan kekeluargaan. Apabila saya cuba dengar satu slot…secara jujurnya..Alhamdulillah, inilah yang saya cari-cari selama ini. 
 
Youtube adalah penyumbang terbesar. Saya telah memuat turun video slot dari Pesona D´Zahra dan menukar format video kepada MP3 supaya mudah untuk saya dengar apabila saya mengemas rumah, mencuci pinggan, memasak dan sebagainya dengan menggunakan telefon pintar saya. 
 
Semoga kita sentiasa istiqomah untuk memperbaiki diri setiap hari. Amin.
 
Sedikit petikan dari ucapan Ustaz Amin

“Kita mungkin telah belajar dalam ilmu lain seperti undang-undang, ekonomi, kejuruteraan, perubatan dan sebagainya hingga ke peringkat ijazah, master, phd dan sebagainya TETAPI ilmu rumahtangga pun kita perlu pelajarinya. Kita mungkin telah mahir dalam ilmu lain tetapi dalam ilmu rumahtangga kita mungkin di tahap sekolah rendah”

-Ustaz Abdullah / Amin (Radio IKIM)
Ya…itulah saya, saya masih di tahap tadika. 
 

Kenali Allah, kukuhkan iman

Saya masih ingat, pada awal dua tahun perkahwinan, kami di cabar dengan dugaan ekonomi rumahtangga yang tak menentu dan saya terpaksa berjauhan dari suami.

Read more..  How to be a productive Muslimah housewife?

Masa tu saya rasa tidak ada yang dapat membantu kami kecuali Allah. Tapi betapa kurangnya saya mengenali Allah, Pencipta saya.

Sikit-sikit saya cuba menimba ilmu tauhid, ilmu asas akidah. Tanpa mendahulukan Allah dalam hidup, saya rasa saya memang akan tumbang.

Saya bersyukur sebab saya dikelilingi oleh wanita-wanita solehah yang sentiasa mengajak saya membuat kebaikan dan sentiasa membuatkan saya bersemangat dan positif dalam kehidupan.

Sentiasalah berusaha untuk mengenal Pencipta kita. Bagaimana kita nak cinta seseorang kalau kita tak kenal dia dulu kan? Walau kita tak nampak Allah tapi kita boleh tahu sifat-sifat Nya. Boleh belajar cara untuk mengabdikan diri pada Nya.

Saya galakkan sesiapa yang boleh berbahasa Inggeris untuk ambil Diploma in Islamic Studies di Islamic Online University. Diploma ini boleh dimulakan dengan sedekah paling minimum 1 USD sebulan.

Saya banyak sangat belajar asas-asas agama Islam dalam diploma ini yang membantu mengukuhkan hubungan perkahwinan kami. Jangan fikir kita ambil diploma ini untuk sijil saja tapi yang penting adalah ilmu ini kita dapat amalkan untuk kehidupan kita di dunia yang fana ni.

Fokus untuk memberi kebaikan

Antara amalan yang digalakkan pada hari Jumaat adalah untuk membaca surah Alkahf, surah ke 18 dalam Al-Qur’an. Ada banyak sangat kelebihan membaca surah Alkahf tetapi ayat yang sentiasa buat saya bergenang air mata adalah ayat terakhir dalam surah Alkahf,

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya“.

-Surah AlKahf (18:110)

Jangan mempersekutukan Allah dan fokus buat amal soleh (kebaikan) jika kita berharap untuk bertemu dengan Allah. Ayat ini sentiasa membuatkan saya ingat akan kematian.

Read more..  Cinta Pak Arab

Pada siapa kita nak fokus buat kebaikan? Pada hamba Allah yang paling hampir dengan kita. Diri kita sendiri kemudian suami, kemudian pada anak-anak jika ada.

Penuhi kebaikan dalam rumah kita dulu baru fokus di luar kalau ada masa terluang. Selesaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan penuhi hak-hak suami dan anak-anak dahulu.

Isteri adalah ‘co-pilot’ suami. Kita tak mahu kan ‘equality’ yang dipandang dalam dunia barat tapi kita nak kan kesaksamaan seperti yang Allah nyatakan dalam Al-Qur’an,

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

– Surah Al-Ahzaab (33:35)

Jangan lupa Al-Qur’an

Bacalah Al-Qur’an setiap hari. Ini untuk peringatan diri saya yang lemah ini. Baca walaupun satu muka surat dan renungkanlah terjemahan. Inilah ubat jiwa yang lara. Saya yakin sangat kalau kita baca Al-Qur’an bersama terjemahan pasti akan kurang penyakit mental atau penyakit hati.

Read more..  Prosedur Perkahwinan di Malaysia Untuk Warga Asing

Satu mukasurat, kalau kita mempunyai bacaan yang baik, saya agak ambil masa kurang dari tiga minit.

Tiga minit untuk akhirat. Takkanlah tak boleh. Katakan boleh!

Sabar, sabar dan terus sabar

Isteri..tak senang jadi isteri. Anggaplah kita bekerja dalam satu pasukan. Dalam satu pasukan tak semua sama rajin, tak semua sama cekap dan ak semua sama kuat.

Kita sama-sama menutupi kekurangan masing-masing.

Maafkanlah dan lupakanlah. Hidup ini singkat. Sekejap saja dah 10 tahun. Sekejap saja dah 50 tahun. Sekejap lagi mati memanggil. Jangan simpan dendam dan kemarahan. Nanti makan diri sendiri.

Renungkanlah,

“(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

-Surah Al-Nahl (16:96)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *