Tips penjagaan diri untuk wanita umur 40 ke atas

Hari ni saya nak senaraikan tips penjagaan diri untuk wanita umur 40 ke atas. Caution: Saya bukan doktor, jauh sekali dalam bidang perubatan tapi saya sudah dalam kategori ‘4 series’. Ahaha..BMW?

Rasa ingin merekodkan perubahan dalam diri ini yang semakin matang. Jadi post ini bukan tertumpu pada isu kesihatan saja.

Tips penjagaan diri untuk wanita umur 40 ke atas

Oklah..

Baru-baru ni bila borak2 dengan hubby, saya kata la kat dia..”Badan selalu rasa sengal, keriuk sana keriuk sini..I feel so old! Saya dah tua..”

Suami saya kata, “You dah tua, I muda lagi..” 😀 Semestinya perbualan kami dalam bahasa Sepanyol.

Itulah kita manusia, badan dan masuk 4 series tapi hati masih rasa muda ya macam masa 20-an je. Macam-macam nak buat.

Tetapi, usia 40 tahun ke atas bukan lagi masa ikut nafsu.

Saya sering ingatkan diri saya dengan doa dari Al-Qur’an bila seorang hamba Allah mencecah umur 4 series ni;

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”

(Al-Ahqaaf 46:15)

Takut sangat…takut kalau dihujung2 usia, sibuk dengan melakukan amal yang saya fikir banyak pahala tapi sebaliknya.

Tahun 2021 ni, saya sibuk mengajar anak-anak rakyat Malaysia dan Indonesia yang dilahirkan di Spain untuk membaca Al-Qur’an.

Dari musim dingin ke musim bunga dan sekarang dah masuk musim panas. Tak dinafikan, saya dapat rasakan perubahan pada badan saya sedari semenjak tinggal di sini dari bulan Oktober tahun 2013.

Sebenarnya, sejak tinggal di negara empat musim ni memang rasa ketara sangat perubahan dalam diri ni.

Antaranya;

  • Period sudah tak tetap
  • Kulit semakin kering, masa muda dulu mulus..perasan sangat 🙂
  • Uban mencanak naik – rumah kata pergi, kubur kata mari daa..
  • Rambut banyak gugur
  • Mata dah mula nak rabun dekat
  • Hot flash selalu
  • Metabolisme semakin menurun
  • Berat badan susah nak turun
  • Pelupa
  • Kestabilan emosi yang turun naik

Bila tengok simptom-simptom ni ahhh..sudah masuk perimenopause ya badan ni.

Takut? Sedih? Risau?

Mestilah..saya manusia biasa.

Tapi Allah dah kata dalam ayat 155 Surah Al Baqarah;

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

(Al-Baqarah 2:155-157)

Di sini saya nak kongsikan tips penjagaan diri untuk wanita umur 40 ke atas macam saya.

Read more..  Gaya hidup minimalis

Lain orang lain latarbelakang kehidupan dengan saya.

Tapi mana-mana wanita yang sudah nak masuk ataupun sudah 40-an ni pasti akan ada persamaan dalam perubahan diri paling tidak dari segi fizikal atau biologi diri.

Oleh itu, ini adalah antara usaha-usaha minimum yang saya buat untuk menstabilkan perubahan dalam fizikal, mental, emosi dan rohani saya.

Terima hakikat yang umur dah lebih 40

Kita kena terima hakikat yang satu ni sebab kalau tidak, susah kita nak ‘move on’. Susah nak bentuk sasaran dan objektif untuk 5 tahun, 10 tahun dan seterusnya.

Bila dah terima hakikat, kita akan redha dan bersyukur bahawa Allah dah bagi kita peluang lebih 40 tahun untuk beribadah berbanding hamba-hambaNya yang lain yang telah dipanggil pulang lebih awal dari kita.

Hasilnya – redha, emosi lebih stabil.

Cakna Fiqh Wanita

Kenapa pentingnya ni? Sebab terkait dengan ibadah khusus kita kepada Allah. Bukankah kita nak maksimumkan pahala ibadah kita sebelum kembali kepadaNya?

Jadi kena ambil tahu fiqh wanita berkenaan bersuci (Taharah), solat, puasa, muamalat dan lain-lain.

Wajib cakna fiqh darah wanita seperti darah haidh, istihadah dan yang berkaitan. Ramai asatizah (ustaz dan ustazah) yang boleh kita belajar dari pengisian mereka seperti:

  • Ustaz Adi Hidayat
  • Ustaz Abdus Somad
  • Ustazah Norhafizah Musa
  • Ustaz Firanda

Jaga Kesihatan Fizikal

  • Amalkan pemakanan sihat – kurangkan garam, manis, pedas, makanan bergoreng, makanan segera
  • Banyakkan minum air masak
  • Cuba amalkan senaman ringan setiap hari – jalan kaki, yoga paling kurang 30 minit sehari
  • Jaga postur ketika duduk – Saya guna BackJoy Posture yang saya beli di Korea tahun 2015
  • Guna kasut yang sesuai – untuk jaga kesihatan tulang belakang dan kaki supaya tak sakit lutut. Pilihan saya kasut Clarks Unstructured. Kurang cantik design dia tapi saya lebih kepada isu praktikal daripada kecantikan.
  • Ambil multivitamin – saya ambil Pharmaton Complex dengan Ginseng (sebiji sehari – cukuplah)
  • Ambil suplemen kalsium jika tak minum susu. Saya tak ambil kalsium sebab memang banyak minum susu setiap hari dua gelas.
  • Minyak Argan dan Shampoo Argan untuk rambut kurang gugur
  • Ambil Goji Berry untuk kesihatan mata – saya perasan bila saya amalkan goji berry ni dengan air teh chrysanthemum, mata kurang rabun dan letih. Wallahualam. Ini yang saya rasa sebab dah setahun saya amalkan. Sebab saya memang selalu tukar spek mata tapi ni dah dua tahun lebih power spek mata tak naik. Alhamdulillah.
  • Kurangkan angkat benda-benda berat – bahaya sebab tulang kita makin sensitif
  • Pap Smear – Dua tahun sekali
  • Full body checkup – yang ni saya cuma buat 2 kali je semenjak tahun 2013.
Read more..  How to Go to Segovia from Madrid

Tambah ibadah sedikit demi sedikit dan istiqomah

Pilihlah ibadah yang senang nak buat dan istiqomah. Contoh:

  • Baca 3 halaman Al Qur’an dengan terjemahan setiap hari
  • Zikir pagi dan petang
  • Zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahuakbar 100x sehari
  • Selawat ke atas Rasulullah SAW 100x sehari
  • Istigfar 100x sehari
  • Solat dhuha dan solat sunat yang lainnya
  • Sedekah

Pilih dan istiqomah. Jangan cuba nak buat semua. Nanti ‘burn out’! Bila dah boleh istiqomah satu, baru tambah lagi satu. Jangan tamak.

Jaga Kesihatan Mental

Saya pernah tulis sebelum ni tentang kesihatan mental wanita. Dulu, seringkali bila ada rasa emosi kurang stabil saya akan kerap kaitkan dengan hormon diri yang dah ‘haywire’.

Itu juga salah satu faktornya tapi sekarang…

Saya sedar sebagai orang Islam kita ada bantuan yang sangat dekat untuk menstabilkan emosi dan mental kita – Kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnah Rasulullah SAW.

Sentiasa jadikan kedua-duanya sebagai panduan menghadapi ujian dunia ini.

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).”

(Riwayat Malik: 1594)

Hati dan emosi lebih tenteram walaupun diasak dengan bermacam ujian.

Jaga silaturrahim keluarga dan kerabat terdekat

Penting sangat ni. Jangan sibukkan diri dengan orang-orang yang tak berkenaan dengan kebahagian hidup kita lebih-lebih lagi orang yang toksik.

Jaga hubungan yang baik dengan ibu-bapa, adik beradik, keluarga sebelah suami dan kerabat terdekat.

Audit penggunaan masa

Kurangkan penggunaan media sosial dan gajet. Guna hanya bila perlu dan kawal berapa jam sehari penggunaannya.

Ini juga penting untuk kesihatan mental. Kalau ada disiplin diri yang kuat tak mengapa.

Read more..  How to be a productive Muslimah housewife?

Kalau tak kuat, mahu berjam-jam dihabiskan untuk klik sana klik sini. Pembaziran masa.

Gunakan masa yang sangat berharga untuk membahagiakan pasangan, ibu-bapa dan kerabat terdekat.

Cari peluang jana amalan kekal selepas kematian

Bila-bila masa saya boleh dipanggil Allah. Adakah amalan saya sudah cukup?

Setiap kali bila baca hadith Rasulullah SAW yang ini;

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” 

Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)

pada mulanya rasa sedih sebab terlalu FOKUS pada yang ketiga kerana saya tiada anak yang dapat mendoakan saya bila saya sudah tiada di dunia.

Saya lupa bahawa ada pilihan lain dalam hadith tu iaitu:

  1. Sedekah jariah
  2. llmu yang dimanfaatkan

Oleh kerana dek terlalu FOKUS nak mendapatkan zuriat….

Walhal belum tentu kalau ada anak, dia akan jadi anak yang soleh. JANGAN mengharapkan orang lain untuk mendoakan kita!

Lebih baik FOKUS pada pilihan dua yang di atas.

Sedekah Jariah

Contoh sedekah jariah yang kita boleh lakukan:

  • Wakaf tanah
  • Wakaf potongan gaji bagi yang bekerja tetap
  • Sedekah dengan niat wakaf – beli bahan-bahan bina masjid, surau, sekolah tahfiz, hospital dan sepertinya
  • Sponsor pelajar-pelajar yang belajar agama Islam, kos yuran belajar sekarang sangat tinggi..bantulah mereka. Susah untuk pelajar fokus belajar kalau dok pikir nak mencari duit lagi.
  • Bina rumah anak-anak yatim, ibu tunggal dan sepertinya
  • Sedekah bahan-bahan untuk pengebumian. Boleh infaq di sini – Infaq kain kafan.

Ilmu yang bermanfaat

Kalau tiada duit boleh beramal dengan ilmu yang bermanfaat. Contoh:

  • Ajar baca Al-Qur’an seperti guna cara IQRA’
  • Ajar ilmu yang bermanfaat untuk kehidupan dunia dan akhirat
  • Buat Youtube videos dengan pengisian yang baik
  • Buat perkongsian yang baik di media sosial
  • Buat blog dengan pengisian yang baik di platform yang ‘tahan lama’ seperti Blogspot, WordPress.com dan sepertinya

Kalau ada wanita-wanita di luar sana yang ingin berkongsi pengalaman dan tips penjagaan diri bagi wanita berumur 40-an selain yang sudah dinyatakan di atas adalah sangat dialu-alukan.

Boleh komen di post ini. 🙂

1 thought on “Tips penjagaan diri untuk wanita umur 40 ke atas”

  1. Pingback: 7 Khasiat Goji Berry Untuk Kesihatan | ZarinaElKabdani

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *