Tagine Kambing dengan Buah Quince

Tagine Kambing dengan Buah Quince

Sebelum ni saya ada tulis tentang Teh Buah Quince. Kali ni saya nak nukilkan resepi Tagine Kambing dengan Buah Quince pulak. Daging kambing ni dah lama terperuk dalam freezer sejak raya Haji tahun lepas (2020), boleh tak?

Seperti biasa, kalau masak-masak makanan Maghribi / Morocco ni yang pro memanglah encik suami. Kita serahkan baton pada dia je. Saya jadi Sous Chep. Ahahah…sous chef sangat..

Apa itu Tagine?

Tajine atau tagine adalah hidangan Berber yang dinamakan sempena periuk tanah liat di mana hidangan ini dimasak. Ia juga disebut maraq atau marqa. Bila masak tagine ni kena guna panaskan dulu periuk tanah liat dan masak dengan api kecil-sederhana supaya tak ‘gosong’ orang Jawa kata.

Gosong = hangus.

Bila dah masak, terus hidang makanan tu dengan periuk tu sekali atas meja. Jangan bayangkan periuk macam kat rumah kita..tapi ni periuk yang cantik macam gambar di bawah.

Ada periuk tanah liat (tagine) yang biasa je dan ada yang dilukis cantik sebagai perhiasan.

Jenis tagine

Ada macam² jenis tagine tapi kali ni sebab tengah musim buah Quince jadi kami nak masak Tagine Kambing dengan Buah Quince. Sebelum ni suami pernah masak tagine ayam dengan buah apricot kering / kismis.

Jadi saya dapat bayangkan lebih kurang rasa dia macam mana tapi dengan kambing, tagine ni rasa lebih ummmphhh. Ye, sebab saya peminat kambing. Heheh..:) Lagi² daging kambing ni kambing yang muda jadi lembut je bila makan tu.

Rasa tagine ni asalnya adalah campuran rasa masin, manis, masam secara amnya. Cuma suami saya suka ada rasa pedas sikit jadi dia sendiri tambah cili bagi pedas.

Read more..  Teh buah Quince (Quince Tea)

Saya takde resepi yang betul² tepat sebab suami main campak² je bahan2 tanpa ada ukuran. Saya jumpa resepi dari The Spruce oleh Christine Benlafquih – Moroccan Tagine With Quinces (Safarjal) and Honey.

Boleh ikut resepi ni dan saya ada tukar dan tambah sikit bahan² dia untuk makan 2 orang.

Kalau tiada buah Quince boleh ganti dengan buah pear yang masih keras.

Bahan Tagine

Bahan-bahan Untuk Tagine

  • 500g daging kambing / lembu
  • 2 biji bawang holland sederhana besar yang dicincang halus
  • 2 ulas bawang putih dicincang halus
  • 1 batang kayu manis (2 hingga 3 inci)
  • 1 suduh teh halia yang ditumbuk halus
  • 1/2 sudu teh garam (ikut selera)
  • 1/2 sudu teh kunyit
  • 1/4 sudu teh lada hitam
  • beberapa helai saffron (jika ada)
  • secubit lada cayenne (pedas) – ikut selera
  • secubit sudu teh Ras El Hanout (garam masala Morocco) – kalau tiada tak mengapa
  • 2 sudu besar minyak zaitun
  • 2 sudu besar mentega
  • 1 sudu besar daun ketumbar yang dipotong halus
  • 500 ml air
  • Kacang peas (optional)
Karamel buah Quince

Bahan-bahan Karamel Buah Quince

  • 1/2 kilo buah Quince (kalau tiada boleh ganti dengan buah pear yang keras)
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu besar madu
  • 100 ml air
  • 2 sudu besar air rebusan daging lembu/kambing @ kiub daging Knorr
  • 1 sudu besar mentega
  • 1/2 sudu teh kayu manis
  • 4 batang cengkih (optional: dsuami suka jadi dia letak)
  • secubit garam

Cara

  1. Panaskan periuk tanah liat. Kalau takde boleh guna periuk biasa saja tapi pastikan periuk yang ‘heavy-bottomed’ yang tak mudah hangus / pressure-cooker.
  2. Gaulkan semua bahan² tagine kambing dalam satu bekas lain baru masukkan dalam periuk.
  3. Masak dengan api sederhana kecil. Biarkan masak sampai daging kambing lembut. Jangan gaul lagi daging bila dah masuk dalam periuk.
  4. Kalau rasa kering sangat takde kuah boleh tambah lagi air. (Saya suka ada banyak kuah tapi suami suka yang tak banyak).
  5. Sementara daging kambing masak boleh karamelkan buah Quince.
  6. Masukkan semua bahan² karamel untuk buah Quince dan masak dengan api sederhana hingga gula jadi karamel dan menyaluti buah Quince. Kena hati² jangan sampai karamel hangus.
Read more..  Kisah Sup Harira

Cara Hidangan

Lepas tagine kambing dan karamel buah Quince dah masak, boleh letak dalam pinggan tagine kambing dulu dan karamel buah Quince diatas tagine kambing. Boleh makan dengan roti atau dengan nasi seperti saya. 🙂 Suami tetap setia dengan roti.

Selamat mencuba!

1 thought on “Tagine Kambing dengan Buah Quince”

  1. Pingback: Tagine Ikan Sardin | ZarinaElKabdani

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *