Apellido - Nama Keluarga

Apellido? Sebut: Apeyyido. Hmm..inilah yang selalu buat macik konpius di Spain ni. Setiap kali nak isi apa-apa borang mesti teragak-agak. 

Semalam, kelas bahasa Sepanyol untuk musim luruh bermula. Kelas bahasa Sepanyol ini percuma untuk 'Non-Spanish' yang dianjurkan oleh CEPA Los Rosales berdekatan dengan rumah saya.

Banyak kelas Bahasa Sepanyol percuma untuk 'Non-Spanish' yang dianjurkan oleh 'City Hall' di sini. Pilih saja kawasan yang lebih dekat dengan rumah. Senang. Tapi kelas ini cuma dua kali dalam seminggu dan setiap kelas cuma satu jam.


Image by jairojehuel from Pixabay

Selepas cuti musim panas yang panjang baru ada pendaftaran untuk kelas baru dari hujung musim panas atau awal musim luruh. 

Ada dua tahap berbeza untuk kelas bahasa Sepanyol. Satu untuk asas - bagi mereka yang tidak tahu langsung bahasa Sepanyol dan satu lagi untuk yang dah tahu.

Saya ambil yang asas sebab tahun 2013, saya ada pergi kelas ni cuma sempat pergi dua kali je. Kelas ini waktu malam. Untuk orang-orang yang bekerja di siang hari kebanyakannya. 

Kelas yang saya pergi masa tahun 2017/2018 dulu di Embajadores diadakan pada waktu siang. Kebanyakkannya suri rumah dan mereka yang tidak bekerja.

Kembali kepada tajuk 'Apellido'. Bila nak isi borang di sini kita harus isi:

Nombre - Nama
Apellido 1 - Nama keluarga 1
Apellido 2 - Nama keluarga 2

Nama saya Zarina binti Jani. Di paspot begitu di NIE (Número de Identidad de Extranjero) juga begitu. 

TAPI...

Masalahnya bila Nama keluarga 2 itu tidak wujud. Hasilnya adalah:

Nombre - Zarina binti
Apellido 1 - Jani
Apellido 2 - 

Pada mulanya saya jelaskan pada mereka yang 'Binti' bukanlah nama tetapi melambangkan jantina saya dan saya tak mahu ia diletakkan baik pada Nombre atau Apellido 1 tapi mereka kata mesti letak sebab kena sama macam di paspot ataupun NIE. Aigoo...

Pada mulanya saya cuba letak begini:

Nombre - Zarina
Apellido 1 - Binti Jani
Apellido 2 - 

Tapi masalahnya di sini kita dipanggil dengan Apellido 1 bukan dengan Nombre maka terpaksalah saya letak kembali  Nombre - Zarina binti; sebab bila mereka panggil nama saya, mereka akan sebut begini;

Señora Binti Jani!!

Oh tidak! Baiklah..terpaksalah mengalah. Biarlah nama ku di Sepanyol ini digelar sebagai 'Zarina binti'. Apa ada pada nama....Aigoo..

Oh ya..kelas Sepanyol saya semalam ada dalam 21 orang. Kebanyakannya orang Maghribi / Morocco. Ini kerana negara mereka negara yang paling dekat dengan Sepanyol jadi jumlahnya begitu. Seperti ramainya orang Indonesia di Malaysia begitu. 

Tapi dari Asia cuma ada dua orang. Iaitu saya dari Malaysia dan seorang lagi dari Filipina. Bila kami berbual, adik ini umur dia 18 tahun. 

Saya kata umur saya berapa. Lepas tu dia kata umur emak dia sama dengan saya...O_O Hahah...Saya kata "You can call me mummy then.." Hahah..

Kami berbual dalam bahasa Inggeris kerana dia baru sampai di Madrid dua minggu. Mereka satu keluarga berhijrah ke Sepanyol untuk masa depan yang lebih cerah. 

Ibu dan bapa dia boleh berbahasa Sepanyol sedikit tapi adik-beradiknya langsung tak boleh berbahasa Sepanyol. Oleh kerana dia harus sambung belajar di sini mahu tak mahu wajib belajar bahasa Sepanyol dulu baru boleh masuk sekolah kerajaan. 

Orang Filipina mungkin akan lebih cepat belajar bahasa Sepanyol saya rasa kerana Filipina dulu pernah dijajah oleh Sepanyol dan dalam bahasa mereka juga banyak menggunakan perkataan bahasa Sepanyol. Ada kelebihan di situ. 

Terakhir sebelum tamat kelas, dia bagitahu ayah dia chef di restoran Korea di Madrid. OMG!! Saya kata..saya suka sangat makanan Korea. Satu hari saya terjah la restoran tu. Bi iznillah. 

0 Comments