Dari tajuk Tandas Eropah Yang Kering dah boleh tahu apa cerita kali ni kan? Tapi sebenarnya saya cuma pernah pergi tiga negara saja di Eropah ni - UK, Sepanyol dan Perancis. Yang pasti tandas di UK dan Sepanyol kebanyakannya kering sentiasa.

Oh ye..ini tandas di RUMAH ye..bukan tandas awam.

Ini jauh berbeza dengan tandas di negara Asia. Kalau di Malaysia, Jepun dan Korea yang saya pernah pergi, tandas tak semestinya perlu kering-sekeringnya. Ini cerita pengalaman saya.



Tandas di Madrid


Masa mula-mula kahwin, saya buat kecah la dalam bilik air lepas ambil wuduk, tak mop lantai macam biasa yang saya buat kat tandas di rumah di Malaysia. Kemudian suami masuk bilik air dan mop lantai terus. Saya tanya kenapa? Dia kata tandas di Sepanyol ni mesti sentiasa kering. Kenapa? Dia kata memang dah budaya di sini macam tu.

Bila pergi rumah abang ipar, juga di Madrid ni saya lihat benda yang sama. Kering-sekeringnya. Tapi yang saya tak gemar mereka gunakan kasut dalam rumah. Jadi kasut itu jugak yang digunakan untuk masuk tandas dan bilik.

Walaupun tandas kering tapi apa pula halnya dengan kawasan untuk solat? Tak dinafikan mereka mop rumah hari-hari untuk bersihkan lantai. Cuma saya rasa was-was di situ. 

Jadi bila saya minta suami jangan guna kasut dalam rumah dia setuju kerana permintaan dia pula, suruh saya keringkan tandas setiap kali lepas guna. 'Give and take' gitu. Inilah apabila dua budaya berbeza bertembung. 

Suami kata masa dekat kampung saya, dia hairan sangat kenapa tandas kami berkecah dengan air. Hehehe...Mana saya tahu tandas di Madrid ni kering kan?

Tandas di UK


Di UK, saya pernah guna AirBnB di London, tinggal bersama kawan Malaysia di Coventry dan  tinggal sekejap bersama keluarga British (Iraq and Pakistan origin) di Oxford.

Paling saya tak boleh lupa pengalaman tinggal di AirBnB di London. Saya sewa rumah ini selama seminggu di Greater London, Sector C kalau tak silap memori saya.

Tuan rumah adalah wanita dalam 60-an (asal Pakistan) yang sudah bercerai. Masa saya masuk rumah dia tersangat banyak rules and regulation sampai saya fed-up sangat. Sudahnya saya keluar pukul 7 pagi dan balik 11 malam setiap hari bila dekat rumah makcik ni. Malas nak mengadap muka dia. 

Apa yang saya tak boleh lupa. Dia suruh saya lap setiap inci kawasan bilik air tu, jangan ada setitik air pun lepas saya gunakan tandas. Menyesal saya tak ikut kata hati saya masa baca review makcik ni kat AirBnB. Lepas tu dia minta saya jangan bagi dia bad review. 

Ramai bagi review kata makcik ni fussy. Dalam hati rasa macam teragak-agak nak booking tapi saya teruskan jugak sebab murah sewa rumah dia. Menyesal tak sudah. Lepas incident ni, sampai sekarang saya takde hati lagi nak guna AirBnB.

Tip: Bagi yang nak melawat London - Lebih baik duduk di Central London walaupun bayar mahal sikit. Sebab kalau naik Tube (Metro) jauh-jauh, bawak beg besar lagi penat sebab Tube jarang ada escalator/lif sebab Tube London ini dah tua sangat.

Kemudian tandas rumah kawan-kawan saya di Coventry pula,

ada karpet! 

Lagilah rasa bersalah sangat kalau air dari wuduk atau masa mandi ke jatuh ke karpet ke kan? Sebab bila basah nanti dia bau hapak pula. Lagi-lagi dengan udara UK yang lembap je. 

Tandas di Oxford pula adalah 

di ladang WWOOF 

jadi kalau basah pun takde masalah. Keluar masuk tandas nak bersihkan badan dan baju yang kotor kerja seharian di ladang semestinya akan basahkan lantai tandas juga. 

Itulah cerita saya sedikit sebanyak tentang tandas eropah yang kering. Kalau siapa-siapa ada pengalaman masuk tandas di tempat lain di Eropah bolehlah bagi komen dan cerita pengalaman masing-masing untuk perkongsian pembaca yang lain. Gracias!
Kawan saya dari Pakistan ada ajar cara buat capati yang menggunakan tepung Atta tapi dekat Madrid ni kalau nak cari tepung Atta kena pergi kedai Pakistan atau Bangladesh. Di kawasan kediaman kami memang ada dua atau tiga kedai Pakistan atau Bangladesh. 

Tapi...tepung Atta ini mahal. 1 kilo dalam 1.50 euro. Lagipun suami saya dia tak suka sangat rasa roti capati sebab macam terlalu sihat! Hahah..iyolahhhh..Jadi saya cari alternatif lain untuk buat roti. 

Ye, lelaki Morocco atau Maghribi ni kalau boleh dia nak isteri dia buat roti semua kat rumah je. Dalam bahasa Sepanyol 'Casera' gitu yang bermaksud 'Home-made' dalam bahasa Inggeris. Ini tip untuk menambat hati suami orang Morocco / Maghribi ye bagi wanita yang ada niat nak kahwin dengan mereka. :)

Sebagai alternatif, saya guna tepung putih biasa yang berharga 45 sen euro untuk 1 kilo. Lebih ekonomi untuk kewangan keluarga. 


Saya terjumpa satu resepi yang sangat mudah yang dijamin akan menjadi (Insha Allah) roti Tortilla yang mudah untuk dibuat dan sedap hasilnya.  

Bahan-bahan untuk 4 keping roti Tortilla (flat bread) saiz sederhana:


  • 1 cawan tepung putih/ tepung biasa (guna pengukur cawan standard)
  • 1 sudu teh yis kering (Mauripan)
  • 1 sudu teh gula
  • 2 cubit garam
  • 1/2 cawan susu suam
  • 1/2 sudu teh minyak zaitun EVOO (opsional) Kalau tak letak pun takpe


Campur semua bahan, uli dalam 5 minit. Kalau adunan kering, tambahkan sikit air. Adunan harus sedikit lembut bila ditekan dengan jari. Kemudian tutup adunan dengan kain bersih dan biarkan mengembang dalam 30 minit seperti dalam gambar di bawah.


Lepas tu boleh bahagikan adunan roti kepada empat bahagian (kalau ikut resepi di atas). Gambar di bawah ni saya tambahkan bahan-bahan supaya dapat 6 keping roti. Suami makan empat keping dan saya makan dua keping untuk sarapan pagi. Banyak tak kami makan? Muka saya pun dah kembang macam roti sekarang! Oopps..


Kemudian gelek la adunan roti tu seperti rupa Tortilla atau capati. Panaskan kuali. Pastikan betul-betul panas sebab kalau tak panas nanti roti tak masak dengan sempurna. Jadi macam bantat. Kalau boleh kita nak dia menggelembung masa kita masak roti tu seperti dalam gambar di bawah.


Kuali rata ni saya beli di IKEA dalam 8 euro kalau tak silap. Ingat nak beli 'Tawa / Tava' dari kedai Pakistan yang diorang guna untuk masak capati tapi harga 'Tawa' tu lebih dari 20 euro. Kensel niat jadi beli je yang kat IKEA ni. Serve the same purpose. :)

Roti Tortilla mudah dan sedap ni saya suka makan dengan serunding udang yang saya buat sendiri untuk Hari Raya AidilAdha baru-baru ni. Sedap sangat!!! Suami biasa la..makan dengan minyak zaitun EVOO, madu dan campuran herba Za'atar dia. 

Inilah kami..dua budaya berbeza maka makanan pun ikut selera masing-masing. 

Masa mula-mula kahwin dulu selalu tak tahu nak buat apa dengan roti Baguette yang dah keras. Biasa buang je sebab saya tak biasa makan roti keras. Ye lah..dah biasa makan roti Garde*** yang lembut mana lah tau nk makan roti keras macam ni. Suami cadangkan buat roti baguette goreng sebab arwah mak mertua tak pernah buang roti kata dia. 


Perkataan baguette ni pinjam dari perkataan Perancis. Kalau pergi ke kedai kopi di Madrid banyak saya lihat pilihan roti dia tapi tak sama macam kat Perancis yang terkenal dengan syurga Boulangerie (kedai roti). Lebih banyak! 

Walaupun begitu, menurut laman web Sabormadrid.es di Sepanyol ada lebih kurang 300 jenis roti! Banyak tu..tapi yang paling banyak dimakan hari-hari adalah roti yang rupa dia macam Baguette tapi saiz dia gemuk sikit dan pendek sikit dari roti Baguette.


Sumber: Wikipedia

Roti yang biasa ada kat kedai-kedai kecik ('Alimentacion') sekitar kawasan kediaman biasanya kami panggil 'Barra' tapi sebenarnya nama lain ialah 'Pistola' kerana roti ini membunuh kelaparan sebab itu dipanggil 'pistola' yang bermaksud pistol. Sumber: sabormadrid.es.

Di Sepanyol takde 7-11 atau yang sewaktu dengannya. 'Alimentacion' ini adalah 7-11 kami tapi tak buka 24 jam. Mungkin dari jam 9.30 pagi hingga 10 malam saja. 

'Barra' - maksudnya 'bar' dalam bahasa Inggeris kerana macam 'a bar of chocolate' jadi roti panjang 'pistola' ini semua orang panggil 'barra' saja sebab semua di sini sudah faham roti apa yang dimaksudkan bila kita nak beli kerana memang ada satu jenis roti saja di 'Alimentacion'.

Bila saya masuk ke 'Alimentacion', saya kata:

'Dame una barra por favor.' - Berikan saya satu roti 'Barra' 

Kalau di 'Alimentacion' kualiti 'Barra' ini biasanya biasa-biasa je. Kalau beli di 'Panaderia' (Kedai roti) mungkin boleh dapat yang lebih baik. Ambil yang tulis 'Artesana' maksudnya macam 'Artisan'. Buatan tangan gitu walaupun saya tak berapa nak percaya..hehe. 

Alamak..jauh pulak membebel pasal roti Baguette goreng sampai jadi kelas bahasa pulak..hahaha.

Oklah..


Ini dia pan 'Barra' atau roti yang seperti Baguette yang sudah keras. Roti ini sudah dua hari. Bila tanya suami, dia nak roti goreng untuk sarapan supaya tak buang roti. Sayang. Satu roti 45-60 sen euro. 

Belah dua roti. Untuk bahan-bahan salut kat roti:

  • 2 biji telur
  • 1/2 sudu teh lada hitam kisar
  • 2 cubit garam
  • 1/2 sudu teh serbuk bawang putih 
  • 1/2 sudu teh daun parsley kering

Kocok sume bahan sampai tercampur rata. Kemudian salut roti dengan campuran telur dekat bahagian roti yang warna putih saja.




Panaskan minyak dan goreng hingga kekuningan coklat. Minyak mesti betul-betul panas kalau tidak nanti roti menyerap minyak. Kolestrollll..oh tidak! :)


Roti siap digoreng dan boleh dimakan dengan kopi susu atau kami panggil 'Cafe con Leche'. Sedap makan panas-panas. Bila sejuk dia akan mengeras semula. 

Buen provecho!
Malam semalam ada sedikit perselisihan bersama suami. Saya bagitahu dia yang hari raya Aidiladha di Madrid adalah esok, hari ahad. Dia kata tak..hari Isnin. Saya pun rasa pelik lah. Kenapa pulak Isnin? Bukankah kita hari ini (Sabtu) puasa Arafah? Baru sekejap tadi kita iftar (buka puasa). 

Maksudnya besok (Ahad) adalah 10 Zulhijjah. Mestilah hari raya Aidiladha kan? Rupanya....saya tak tahu yang hari raya Aidiladha di Morocco / Maghribi jatuh pada hari Isnin. Konpius la kejap makcik kan? Hehehehe :) 


Encik El Kabdani lagi lah konpius sebab dia bagitahu kawan2 dia yang solat raya hari Isnin. Sudahnya dia terpaksa la solat dekat masjid kecil berdekatan rumah je. Kalau tak dapat la solat di Masjid M30 atau Islamic Center di Barrio de la Concepción

Saya pulak memang dah bagitahu akan solat hari raya Aidiladha di KBRI (Kedutaan Besar Republik Indonesia - gambar di bawah) bersama teman-teman Indonesia. Kami raya berasingan kali ni. Membujang trang tang tang. Kenapa Encik El Kabdani tak ikut? Dia pemalu tahap dewa wa wa wa wa. :)


Dari rumah pukul 8 pagi. Saya tunggu kawan-kawan dari Villaverde Alto sama-sama naik Renfe Cercanias hingga ke Nuevos Ministerios (macam KTM). Kemudian kami tukar naik Metro Line 6 (circular) ke Avenida de America. Dari situ naik bas hingga ke KBRI. 


Kami fikir kami sampai lambat sebab solat hari raya Aidiladha biasanya cepat. Kalau di Masjid M30 jam 8.30 pagi sudah solat. Alhamdulillah, solat di KBRI mula jam 9 pagi. Masa kami sampai jemaah baru saja hendak bangun memulakan solat. 

Pagi ini ketika dengar khutbah, pak imam ada sebut pasal peristiwa tembakan di Oslo, Norway. Hampir serupa dengan peristiwa di New Zealand. Bagaimanapun usaha penembak tu berjaya dipatahkan. Masha Allah. Semoga Allah melindungi kita semua dari tindakan kejam pengganas seperti ini. Amin. 


Lepas solat ada sesi bermaafan seperti gambar di atas. Semua berbaris dan saling minta maaf. Saya hairan adakah wanita bermaafan sesama lelaki jugak? Rupanya kita cuma tunduk hormat saja sambil buat macam nak salam tapi tak bersentuhan. 

Ucapan salam yang biasa - Minal Aidil Wal Faizin. Maaf zahir batin yah?



Kemudian sesi makan ringan dahulu dengan kuih-muih (gambar di atas - sebelah bawah-kanan). Selepas itu makan tongseng, nasi bersama limpa dan tahu goreng sambal, ayam masak lemak kuning dan sedikit keropok. 


Apa itu tongseng?

Tongseng adalah sejenis gulai dibuat dengan menggunakan daging yang masih melekat pada tulang, terutama tulang rusuk dan tulang belakang. Tongseng pada umumnya menggunakan daging kambing. Di samping itu dimasukkan sayuran seperti kobis, bawang putih dan tomato. Tongseng dianggap sebagai makanan khas daerah Solo, Magelang dan sekitarnya. - Sumber: Wikipedia

Untuk pencuci mulut atau di sini dalam bahasa Sepanyol dipanggil 'postre' adalah rojak yang kawan saya panggil 'asinan' kalau di Indonesia. Sedap..sedikit pedas.

Inilah teman-teman Indonesia saya. Dari Kiri - Watt, Ibu Kuja (orang Sunda), Suty (orang Jawa), Ibu Kus (Orang Acheh). Indonesia sangat besar dan saya dapat belajar banyak bahasa dari mereka semua. Masha Allah. 

Jamuan tamat lebih kurang jam 11.30 pagi dan kami masing-masing pulang. Mengantukkkk!! Kami ambil kenderaan awam yang sama. Tukar di Avenida de America Metro seperti gambar di bawah. 


Selamat Hari Raya AidilAdha 1440H dari Madrid.
Maaf Zahir dan Batin.
Kelmarin suami beli dua botol Gazpacho sup dingin Sepanyol. Tapi bukan sup Gazpacho yang saya bayangkan seperti tahun-tahun sebelumnya. Gazpacho yang saya lihat depan mata ini sangat lah bukan gazpacho tradisional. Hmmm...apa rasanya ye?

Saya panggil gazpacho baru ini gazpacho alaf baru. Ia langsung tidak ada TOMATO iaitu salah satu bahan penting dalam gazpacho.

Omaigadd!!


Gazpacho ni sup dingin yang dibuat daripada bermacam jenis sayuran yang kebiasaannya dimakan atau diminum ketika musim panas. Dimakan, jika dihidangkan di dalam mangkuk dan diminum, jika di dalam cawan. Ikut selera masing-masing. Saya suka di dalam cawan saja, senang nak teguk. 

Saya tak pasti kalau di Malaysia ada tak sup yang dingin? Hmmm...Kalau di Korea saya pernah makan sup kacang soya dengan mi yang penuh dengan ketulan ais (Boleh baca di sini). Negaraku yang sentiasa panas takde pula ya macam soto dingin ke..mee bandung sejuk ke..heheh. Bukan budaya kita. 

Ramuan untuk gazpacho ini terlalu banyak! Gazpacho adalah sup yang sihat yang kaya dengan mineral, antioksidan, serat dan vitamin C, A dan E. Contohnya, tomato merah adalah tinggi karotenoid seperti lycopene dan beta-karoten, antioksidan yang dapat mencegah kanser prostat, tekanan darah tinggi dan masalah mata.

Bagus kan? 

Lagipun bila musim panas tahap melampau seperti di kawasan mediterranean ini, selera nak makan bagaikan disekat-sekat. Cuma teringin nak makan benda-benda sejuk je dan gazpacho antara makanan favorit disini sebab ia mudah untuk dibuat dan mengenyangkan.

Gazpacho yang Encik El Kabdani kita belikan ialah:

  • Gazpacho avocado (sebelah kanan gambar)
  • Gazpacho mangga (sebelah kiri gambar)

Masa mula-mula tengok botol dia nampak macam menarik! Lagipun mangga kan??? Mestilah sedap agaknya. Ada simbol Gluten free dan Vegan lagi, jadi rasa macam OK lah kot.....:)


Mari kita lihat bahan-bahan Gazpacho Avocado ni:

Agua - Air
Aguacate - Alpukat (Avocado)
Manzana - Epal
Pepino - Timun
Aceite de oliva virgen extra - Minyak zaitun EVOO
Vinagre de vino - Cuka wain (Segala jenis cuka, halal ye..:)
Zumo de limón - Jus lemon
Cilantro - Daun ketumbar
Sal - Garam
Pimiento - Lada benggala itali - tengok sini untuk contoh
Cebolla - Bawang besar (Holland)
Espinaca - Bayam
Ajo - Bawang putih
Jengibre - Halia

Banyak kan bahan-bahan dia?

Komen jujur saya


Saya bukan orang sepanyol tapi rasa sedih jugak sebab tak ada tomato. Tomato di Sepanyol yang digunakan untuk buat gazpacho memang kualiti dia tip-top, sedappppp sangat dan manis. Rasa gazpacho avocado ini jugak pelik! Hubby rasa sikit je terus kata, "U habiskanlah semua dua-dua botol ni"..Adoi..Takpelah, saya suka jus. Takde masalah.

Antara kedua-dua gazpacho alaf baru ini, gazpacho avocado ini rasa dia lebih hampir kepada gazpacho tradisional. Ok lah bagi saya. Cumanya.. saya masih peminat tegar gazpacho tradisional seperti gazpacho dari pasaraya Dia (gambar di bawah). ¡Olé!



Mari lihat Gazpacho Mangga pula.



Bahan-bahan Gazpacho Mangga ni adalah:

Zumo de naranja - Jus limau
Mango - Mangga
Agua - Air
Aceite de Oliva virgen extra - Minyak zaitun EVOO
Pepino - Timun
Vinagre de vino - Cuka wain
Sal - Garam
Pimiento - Lada benggala itali - tengok sini untuk contoh
Ajo - Bawang putih
Cardamomo - Buah pelaga

Komen jujur saya


Ok! Saya suka mangga. Rasa gazpacho ni manis sikit berbanding dengan gazpacho avocado. Sikit je tak banyak tapi kenapa mesti ada buah pelaga??!!! Adoi..saya memang tak gemor kalau makanan yang ada buah pelaga ni. Saya sorang je la selera pelik agaknya sebab bagi saya bau dia busuk..hehe. Selain itu, komplen yang tak ada tomato. Oh tidakk...

Tips untuk makan atau minum Gazpacho

  • Mesti dingin, wajib! - pastikan dalam peti ais dengan suhu antara 1 ke 6 darjah celcius. Kenapa? Sebab ni lah nama dia Gazpacho sup dingin Sepanyol. Kalau tak dingin, bukan gazpacho gitu. Suhu gazpacho juga akan turut mempengaruhi rasanya. Gazpacho yang tak dingin memang akan ditolak tepi ye. 
  • Buat sendiri - ya, mengikut pengalaman saya..gazpacho yang dibuat sendiri oleh macik-macik Sepanyol di rumah kemudian didinginkan ternyata lebih sedap berganda-ganda daripada yang dibeli di pasaraya. 
Macam mana nak buat sendiri? Tahun 2017 saya ada tulis post pasal resepi Gazpacho. Siapa yang berminat untuk buat sendiri di rumah; Resepi Gazpacho boleh baca kat sini. Saya memang penggemar gazpacho, suami kureng sikit. Ye..perut saya perut antarabangsa..lebih sikit dari suami. Hehehe...


Sekarang makin banyak produk gazpacho alaf baru yang lebih kreatif yang lari jauh dari resepi gazpacho konvensional. Ada yang dengan ceri, ada yang dengan strawberry, ada yang dengan tembikai dan macam-macam lagi. Cuba tengok video dari program kegemaran saya - Aquí la tierra kat bawah ni.


Saya akan cuba cari gazpachho yang lain pula kalau ada dipasaran. Insha Allah. 

Ok lah...¡Que aproveche! - Selamat menikmati Gazpacho!
Kelmarin suami beli buah tin segar yang berwarna hijau. Subhanallah manisnya macam madu! Saya mampu makan sebiji je sebab bila terlalu manis rasa berdesing pulak telinga..entah kenapa. Terus rasa nak menulis tentang khasiat buah tin dan daunnya. :) Buah tin adalah buah musim panas di Sepanyol.


Saya pertama kali makan buah tin segar di Seoul, Korea Selatan. Masa tu cuma ada buah tin yang kulitnya seakan-akan ungu kehitaman. Tak pernah lagi saya makan buah tin yang berwarna hijau semanis madu..Tabarakallah. 

Seingat saya masa kecik-kecik dulu ada makan buah tin segar sebab jiran ada tanam pokok tin yang sangat besar di halaman rumahnya tapi walaupun saya masih kecil tapi saya ingat sangat yang rasanya langsung tidak sama seperti buah tin yang di dalam gambar di atas. Mungkin juga faktor tanah, cuaca dan kelembapan udara.

                                             Image by PublicDomainPictures from Pixabay 

Buah tin dalam bahasa Sepanyol ialah 'Higos' atau 'Brevas'.


Buah tin ada dua jenis boleh dilihat dari kulitnya sama ada:
  1. hijau muda
  2. ungu kehitaman 

Cuba tengok video dalam bahasa Sepanyol ni.



Yang hijau adalah 'Higos' manakala yang ungu kehitaman adalah 'Brevas'. Ingat ya, bahasa Sepanyol walaupun ditulis 'Higos' tapi huruf H tidak disebut. Jadi perkataan 'Higos' disebut sebagai 'Igos'. Huruf H = senyap.

Kembali kepada cerita buah tin ye..Hehee..Buah tin ungu kehitaman 'Brevas' akan berada di pasaran dahulu dalam bulan Jun kemudian kalau di Madrid (tak pasti di kawasan lain di Sepanyol), buah tin hijau 'Higos' akan keluar dalam bulan Julai ke Ogos ketika musim panas.

'Brevas' saiznya besar dan bagi saya tak semanis 'Higos' manakala 'Higos' pula saiznya sedikit kecil dari 'Brevas'. Pakcik dalam video kata masa dulu mereka selalu sapu sedikit minyak zaitun ke punggung 'Brevas' (bahagian yang besar) kerana 'Brevas' akan makin besar dan lebih dihargai.

Saya lihat kalau makin panas cuaca di kawasan itu, makin manis buahnya. Wallahualam, ini pendapat saya je mengikut pengalaman, sebab tomato di Madrid ni bila masuk musim panas juga manis macam tomato ceri tapi saiznya besar-besar.

Sebab kalau di Malaysia saya tak suka sangat tomato sebab kita biasa rasa yang masam bukan? Jadi tomato bukan buah yang manis biasanya kalau di negara kita. Tomato buah? Bukan sayur ke? Tomato boleh jadi buah atau sayur..:) Baca di sini.

Di rumah saya memang sentiasa ada buah tin yang kering dan juga yang direndam di dalam minyak zaitun EVOO (Extra Virgin Olive Oil). Suami kata bila rendam dalam EVOO boleh jadi ubat.

Antara petani Malaysia yang mengusahakan penanaman buah tin adalah Encik Mohamad Hafidz Arifin seperti dalam video di bawah.

Antara khasiat buah tin:

Makanan sunnah

Demi buah Tiin dan Zaitun (At-Tiin 95:1)


Buah tin ada disebut dalam Al-Qur'an dan adalah salah satu makanan sunnah dalam Islam. Allah SWT menyebutkan beberapa jenis buah dan tumbuh-tumbuhan di dalam al-Qur’an, buah tin hanya disebut sekali saja pada surah at-Tin.

Makanan diet

Satu buah tin segar yang besar ~ 47 kalori. Bagus untuk diet sebagai snek. Buah tin segar atau kering kedua-duanya adalah baik untuk diet.

Pencernaan

Meredakan sembelit dan rasa lebih kenyang. 1 ounce buah tin kering ~ 3 gram serat. Jadi sangat bagus untuk pencernaan kerana seratnya yang banyak.

Kolestros dan diabetis

Ia juga boleh membantu menurunkan kolesterol dan mengawal paras gula darah.

Osteoprosis

Figs adalah sumber kalsium yang baik, yang boleh menjauhkan dari osteoporosis serta isu kesihatan yang lain.

Antioksidan

Buah tin mempunyai antioksidan berkualiti tinggi. Antioksidan mengurangkan radikal bebas yang merosakkan sel dalam tubuh.

Mineral dan Vitamin

  • vitamin A
  • vitamin C
  • vitamin K
  • vitamin B
  • potasium
  • magnesium
  • zink
  • tembaga
  • mangan
  • zat besi
Hari ini bangun pagi, Masha Allah panas..panas..panas..Musim panas di Madrid kali ini lebih panas dari tahun 2018. Pukul 11 malam masih 33 darjah celcius. Omaigaddd...Jadi bangkit pagi terus rasa nak tulis tajuk panas juga - Kuota Harian Mulut Wanita.

Tajuk sensasi lagi...:D Biasa la..kalau tak mengomel tak wanita gitu kan? Tapi tak semua wanita begitu cuma secara umum, kadar peratusnya lebih banyak. 

Antara banyak-banyak channel di Youtube, saya suka dengar tausiyah di Digital Mimbar - dalam bahasa Inggeris. Saya suka juga dengar tausiyah dari asatizah di channel IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) tapi semalam saya terlintas nak dengar tausiyah tentang wanita dan terrrr...sangkut dengan intipati ucapan dari salah satu video tausiyah beliau iaitu Brother Navaid Aziz.

Sedikit info tentang beliau - berasal dari Calgary, Canada dan seorang kaunselor perkahwinan. Ahah! Teruja terus nak dengar pengalaman beliau mendengar segala aduan, rungutan dan yang sewaktu dengannya tentang asam garam kehidupan berumahtangga. Ada kredibiliti sekurang2nya apa yang dibentangkan berdasarkan pengalaman dan latarbelakang pekerjaan beliau.

Ini videonya..




Brother Navaid bagi satu tip yang sangat sangat sangat berguna (walaupun saya rasa dari awal hingga akhir video ini semunya pun sangat-sangat penting untuk semua wanita hadam dengan pemikiran yang terbuka!) - bagaimana untuk memperbaiki hubungan pasangan dalam rumahtangga. 

Dalam post yang sudah, saya ada tulis, dalam perkahwinan ni ada masa suka, duka, pahit, bosan dan macam-macam. Bukan cantik sentiasa  seperti dalam cerita dongeng Walt Disney. :) 

Dari minit 21:36 - 

Isi - Pentingnya untuk wanita memenuhi kuota harian percakapannya.


"In reality, sisterhood is more important than brotherhood. Brothers, they can learn to live amongst themselves as a community and not communicate amongst themselves. 

But women and this is psychologically proven, they need to socialize through their words. In fact if they don't socialize through their words they actually feel incomplete. 

A study was done that an average man speaks 12,000 words per day and usually speaks.. you know.. 11,999 (words) before he comes home. So when he comes home he says Salaam alaikum and he's done for the day (and) did not speak. 

Well as a woman on the other hand she speaks 23,000 words per day so when the husband comes home she wants to converse with him and she's like aren't you going to ask how my day was? 

While the husband only said one word, she needs to build up her breath and then start speaking like for hours and hours and the husband's like.... please just leave me alone. :)

And now the reasoning behind that is; this is how Allah SWT created the two different creatures the man and the woman. (Subhanallah)

The woman needs to speak her mind and she will feel incomplete if she doesn't.

And this is a lesson for the men..

That if you want to make your women feel complete and feel.... you know... WHOLE; let them speak their minds 

AND actually pay attention to them

AND you'll see it's like simple things that you can do that will actually improve your marriage."

TERJEMAHAN


"Pada hakikatnya, ukhuwah wanita adalah lebih penting daripada ukhuwah lelaki. Bagi lelaki, mereka boleh belajar untuk hidup di kalangan mereka sebagai komuniti dan tidak berkomunikasi di kalangan mereka.

Tetapi bagi wanita dan ini terbukti secara psikologi, mereka perlu bersosial melalui kata-kata mereka. Malah jika mereka tidak bersosial melalui kata-kata mereka, mereka sebenarnya merasa tidak lengkap.

Satu kajian dilakukan bahawa seorang lelaki secara purata bercakap 12,000 perkataan setiap hari dan biasanya bercakap (di luar rumah).. 11,999 (perkataan) sebelum dia pulang ke rumah. 

Maka ketika dia pulang ke rumah dia berkata Salaam alaikum dan kuota percakapan dia sudah selesai untuk hari itu (dan) tidak lagi akan berbicara.

Seorang wanita di sisi lain pula, dia bercakap 23,000 perkataan setiap hari jadi ketika suami pulang ke rumah dia ingin bercakap dengan suaminya dan bertanya "Awak tak mahu tanya ke macam mana  keadaan saya hari ni?"
Kemudian suaminya hanya berkata satu perkataan, si isteri pula mula menarik nafasnya dan mula bercakap berjam-jam dan suaminya bagi reaksi.... "Sudahlah..jangan kacau saya...(dengan bebelan awak tu)" :)

Dan inilah sebabnya; bagaimana Allah SWT menciptakan dua makhluk yang berbeza lelaki dan wanita itu. (Subhanallah)

Wanita itu perlu bercakap fikirannya dan dia akan merasa tidak lengkap jika dia tidak (bercakap).

Dan ini adalah pengajaran (tip) untuk lelaki ..

Bahawa jika anda ingin membuat wanita anda merasa lengkap biarlah mereka meluahkan perasaan dan fikiran mereka.

DAN beri perhatian kepada kata-kata mereka (isteri)

DAN anda akan melihat ia adalah perkara yang mudah, yang boleh anda lakukan dan sebenarnya akan meningkatkan hubungan baik  dalam perkahwinan anda. "

TAPI..ada tapinya..

tip ini bukan mudah untuk dihadam dan dipraktikkan kalau EGO masing-masing menebal dalam diri. Ya..wanita juga ada ego..bukan lelaki saja.

Pengalaman saya

Adalah penting untuk cuba faham situasi:

Macam silat atau taekwondo, bila kita sparring..(masa tengah lawan). Kita (isteri) pihak A dan suami, pihak B. 

Bila A bagi buah begini, B balas begitu..
jika B bagi bunga begitu, A balas begini pula.

Fleksibel. Kena pandai baca keadaan. 

Bila suami pulang rumah nampak bad mood je, jangan pula isteri membebel. Isteri kena baca situasi tu. 

Bila suami pula nampak si isteri bad mood..jangan buat bodoh je..Suami juga kena pandai baca situasi.

Masing-masing kena buang ego, buang perasaan "malas aku nak layan ko"..buang pemikiran negatif, dan put yourself in someone else's shoes - Cuba fahami dan kongsi perasaan masing-masing sebaik dan sebolehnya.

Kadang-kadang pasangan berlainan budaya ini ada baiknya...juga ada buruknya. 
Ini resam kehidupan, turun naik seperti roda. Ada masa di atas, ada masa di bawah.

Sebagai Muslim, betapa cantiknya bila setiap kita sabar dengan segala ujian yang Allah berikan di dunia yang fana ini. Lihatlah ganjaran Allah untuk orang yang bersabar dalam ujian seperti ayat di bawah.



Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (Az-Zumar: 10)