Hati-Hati Dengan Lelaki Morocco

Bismillah..Lama tak menulis, tiba-tiba terpanggil untuk menulis artikel tentang tajuk yang sensasi - Hati-Hati Dengan Lelaki Morocco. Morocco atau Maghribi. 



Baru-baru ni hari Ahad saya pergi mengaji di Central Mosque atau yang biasa saya panggil Masjid Estrecho. Ada Sister yang bagus ilmu Al-Qur'an nya yang berasal dari Syria yang boleh mendengar bacaan kami, memperbetulkannya dan mengajar tajwid sekali. 

Sister ini sebenarnya pangkat nenek saya. Masha Allah. Tapi di sini siapa pun kita panggil 'Hermana' yang bermaksud 'sister' atau 'kakak' dalam Islam. Sister in Islam atau Hermana en Islam

Malangnya beliau tidak boleh berbahasa Sepanyol. Jadi kami belajar dalam keadaan yang 'limited' jugak kerana setiap kali beliau bagi penerangan, ada penterjemah di kalangan sister juga cuma biasalah bila berlaku terjemahan, situasi 'Lost in translation' ini pasti akan berlaku. 

 
 Image by Fauzan My from Pixabay

Ilmu yang asal tidak sampai sepenuhnya. Seperti pembacaan Al-Qur'an dengan terjemahan bahasa Melayu tidak akan sama kalau kita faham Al-Qur'an dalam bahasa Arab itu sendiri. Takpelah, yang penting niat dan proses pembelajaran itu sendiri. Allah nak lihat usaha kita, kan? 

Ok..apa kena mengena dengan tajuk post pula ye?

Panjang betul intro..hehe.

Oleh kerana kami sudah salah dapat maklumat, Sister ini tidak datang pada hari Ahad sebab tiada konfirmasi berapa pelajar yang hendak datang belajar. Jadi bila tunggu punya tunggu masih tidak muncul juga. Maka kami pindah ke kelas agama di sebelah bilik kelas tajwid.

Tenaga pengajar kelas agama adalah seorang lelaki, doktor yang sudah bersara dan dia juga pangkat seperti ayah saya. Sudah tua.

Beliau adalah doktor medicine bukan doktor falsafah. Jadi kami sering juga tanya masalah kesihatan kepada beliau.

Hari ni kami cuma tanyakan apa saja permasalahan harian yang kami hadapi kepada doktor tersebut. 

Biasalah, musim panas ni musim cuti yang panjang bagi pelajar di Spain. Cuti di sini panjangnya lebih kurang dua bulan setengah. Jadi ramai yang pulang ke kampung masing-masing dan tak ramai yang menghadiri kelas agama hari ni. 

Tapi ada satu sister dalam kelas ni dia bertanyakan soalan yang barangkali saya rasa satu soalan yang semua wanita yang masih belum berkahwin akan tanya soalan ini:

Bagaimana saya tahu lelaki yang saya akan kahwini ini lelaki yang baik, yang mempraktikkan agama Islam yang benar, bertanggungjawab? Ada saja yang sebelum kahwin baik dan selepas kahwin terus tunjuk belang. 

Tiba-tiba ada seorang sister mencelah:

Saya wanita asal Sepanyol telah berkahwin dengan lelaki Morocco tapi lelaki ini tidak pernah mempraktikkan Islam dan selama berkahwin dengan saya, akhlak suami langsung tidak ada ciri-ciri seorang Muslim. 

Aduhai..kasihan saya dengar kisah beliau.

Jawapan doktor:

Jangan kita risaukan apa yang akan terjadi selepas kahwin. Kita sudah pilih lelaki yang kita fikir terbaik, sudah tahu latar belakangnya dari yang kita tanya di sebelah pihak lelaki. Kita sudah bulatkan hati dan dengan solat istikharah, kita berserah kepada Allah dengan keputusan yang kita ambil.

Apa yang lebih penting adalah diri kita. Kuatkan diri kita dengan iman dan ilmu pengetahuan. Jangan sandarkan kehidupan kita kepada seorang lelaki yang bernama suami. Ye kita taatkan dia sebagai ketua keluarga tetapi kalau diri kita tidak kuat dengan iman dan ilmu Islam, kita akan sukar menghadapi apa saja masalah rumahtangga yang bakal kita hadapi.

Jadi, kita fokus kepada diri kita. Perbaiki diri dengan ilmu dan iman. Kalau ada masalah melandai rumahtangga kita, kita sudah siap sedia menghadapinya. Kita saja yang boleh merubah perspektif dan emosi kita. 

Bila saya dengar nasihat doktor ini, dalam hati kecil berkata, "Ya, tepat sekali apa yang dikatakan". Tanpa ilmu dan iman, pasti saya tidak akan bertahan lama dalam perkahwinan. 

Iman 
- mempercayai bahawa Allah telah memberikan saya yang terbaik dalam segala pilihan saya
- terus berusaha, berdoa dengan sabar dan solat
- hidup ini ujian, keputusan sama ada kita cemerlang atau tidak, kita akan tahu di akhirat nanti
- Allah tidak akan mensia-siakan usaha hambaNya. Percaya dengan janji Allah. Janji Allah itu benar. Janji manusia ada benar, ada tidak. 

Ilmu
- mengawal emosi ketika ada salah faham. Bila sorang melenting, sorang mendengar. Jangan dua-dua sekali melenting. 
- mengawal amarah
- memaafkan, forgive and forget secepatnya. Ya memang susah tapi 'practise makes perfect'. 
- belajar ciri-ciri wanita yang Allah angkat sebagai contoh muslimah terbaik dalam Al-Qur'an - Maryam, Asiah, Aishah dan lain-lain.

Dunia rumahtangga ini, semakin lama saya selami semakin banyak ilmu yang saya pelajari. Ada hari suka, ada hari duka, ada hari bosan, ada hari mendebarkan dan macam-macam. Jangan cepat melatah dengan isu-isu yang kecil. 

Fokus pada kebaikan dan kekuatan pasangan kita. Jangan lihat pada kekurangannya. Manusia tiada yang sempurna. Yang sempurna hanya Allah Al-Hayy Al-Qayyum. Yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya).

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment