Resepi Gazpacho

Alhamdulillah, hari ini sudah masuk Ramadhan hari ke 20. Berbaki 10 hari terakhir, hari yang kita nanti-nantikan iaitu malam Lailatul Qadar; malam yang lebih baik dari 1,000 bulan berada dalam salah satu malam yang 10 ini.

Mari sama-sama kita berlumba-lumba memperbanyakkan amal soleh, mengharapkan Allah menerima amal ibadah kita, mendapatkan keampunanNya dan keredhaanNya.


A’isyah Radhiallahu ‘anha, ”Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mengetahui suatu malam adalah lailatul qadar. Apa yang mesti aku ucapkan saat itu?” maka Beliau menjawab, ”Katakanlah: ‘Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu anni’ (Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku).” (HR. Tirmidzi, Shahih).

Bagaimana Ramadhan di Madrid tahun ini? Seperti tahun lepas waktu puasa memasuki musim panas dan lebih kurang kami berpuasa 17 jam. Seawal pukul 4.40 pagi dan berakhir pukul 9.46 malam.

Tahun sudah, 'heatwave' di Sepanyol bermula pada bulan Julai tetapi dugaan bulan Ramadhan yang juga bermaksud panas terik melanda kami seawal bulan Jun dan seiring dengan 10 hari terakhir di bulan Ramadhan. Subhanallah.

Di Sepanyol, apabila musim panas bermula, orang Sepanyol biasanya mereka minum sejenis sup sejuk yang dikenali sebagai gazpacho. Apabila hari terlalu panas memang boleh buat hilang selera untuk makan. Jadi gazpacho yang banyak vitamin ini memang sesuai sangat sangat..

Gazpacho, bahan asasnya adalah tomato ditambah dengan beberapa jenis sayur yang akan saya tuliskan resepinya dibawah. Tomato yang masak ranum sangat penting untuk memastikan kualiti rasanya. 

Pertama kali saya cuba gazpacho (jenama Don Simon) adalah pada tahun 2013 ketika melawat Cordoba. Pada pendapat saya, gazpacho ini tak semua orang suka rasa dia. 'Acquired taste' orang putih kata.

Semalam, saya ada kelas bahasa Sepanyol di Embajadores. Berbaki kelas tiga lagi sebelum cuti panjang musim panas bermula dan musim persekolahan akan bermula di hujung bulan September.

Kami belajar tatabahasa baru iaitu 'Conditional tense' dan guru kami suruh setiap pelajar mereka satu ayat untuk memastikan yang kami faham tatabahasa ini.

Ayat pilihan saya; "A Lola, ¿Podrias enseñarme cómo hacer gazpacho?" - Kepada Lola (nama guru saya), Boleh ajar saya bagaimana cara buat gazpacho?


Terus guru saya teruja untuk mengajar saya cara untuk membuat gazpacho. Gazpacho ini popular di kawasan Andalusia iaitu selatan Sepanyol dan ibu guru saya berasal dari Huelva (gambar di atas). Saya telah bertanya resepi ini dari sumber yang tepat..Yeay!

Guru saya kata dia minum gazpacho setiap hari pada musim panas dan setiap hari dia perlukan 2 kilo tomato untuk membuat gazpacho bagi keluarganya! Banyak tu! Sebab tu lah saya nampak di sini tiap kali musim panas memang banyak tomato dijual dengan murah. 2 kilo dalam 1.50 euro saja (mengikut kualiti).

Baiklah, sebab dah lama tak berblog dan saya telah bercerita tanpa henti..hehe. Lo siento. Mari kita lihat resepi gazpacho.

Resepi Gazpacho

Hasil 1 liter; untuk kami cuma dapat untuk 2 orang minum. Kami suka gazpacho!


Bahan-Bahan

1/2 kilo tomato masak ranum, pilih yang paling merah (ini sangat penting!)

100 ml minyak zaitun extra virgin

1/2 timun sederhana panjang

1/2 lada itali hijau (boleh ganti dengan 1/2 lada benggala hijau)

1 ulas bawang putih 

1/2 biji bawang besar Holland (boleh guna bawang besar merah)

1 sudu kecil garam halus (boleh kurangkan ikut suka)

4 sudu besar cuka epal atau cuka biasa

1 keping roti yang direndam dengan air ( di sini guna roti baguette dalam 3 inci panjang atau boleh ganti dengan roti keras bukan roti gardenia lembut)

Cara-cara

Kisar semua bahan kecuali minyak zaitun sehingga halus dalam dua minit. Kemudian masukkan minyak zaitun sedikit demi sedikit dan kisar sehingga habis.

Sejukkan dalam peti ais (bukan bahagian sejuk beku). Jangan campur kiub ais ye. Biarkan dia sejuk secara normal dalam 2 jam.


Masa nak minum, kalau tekstur gazpacho terlalu pekat masukkan satu atau dua kiub ais sebelum minum.

Selamat mencuba! ¡Que aproveche! 

0 Comments