Sunyi - Janna Nick

Rutin harian saya bila lepas suami pergi kerja adalah baca berita di Astro Awani. Pagi ni saya baca artikel tentang Janna Nick yang membayangkan bahawa kehidupannya dahulu pernah disinggahi oleh kesunyian. 

Bila saya baca artikel ni, teringat tentang kehidupan diri sendiri yang boleh saya katakan juga sunyi. Selepas lima tahun perkahwinan kami, tidak semua hari-hari diulit bahagia. Inilah kehidupan. Penuh warna warni pelangi.

Sebelum pelangi muncul, awan mendung, gerimis. Tiba-tiba matahari kenyitkan matanya, pelangi pun muncul. Bak kata orang putih:


'Every cloud has a silver lining'



bermaksud, jangan pernah merasa hampa atau putus asa sebab setiap kesusahan, pasti akan ada kesenangan mengikutinya. Kesusahan adalah seperti awan hitam pekat yang menutupi cahaya mentari.



Pasti kesukaran disertai kesenangan? PASTI.

Kerana termaktub dalam kalimah suci Allah - Surah Ash-Syarh - سورة الشرح. Janji manusia tidak ada kepastian. Janji Maha Suci tidak ada keraguan.


Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Ash-Syar-h 94:5)



(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Ash-Syar-h 94:6)

Kehidupan saya sunyi?

Kalau orang lihat dan tidak melalui kehidupan kita, nampak best je:

Kahwin dengan orang asing.
Tinggal kat Madrid.
Surirumah sepenuh masa.
Takde anak, banyak masa.
Boleh rilek seharian di rumah.
Boleh keluar shopping bila-bila mahu. Suami kerja, kita boleh berfoya-foya.

Ini semua positif bila dilihat oleh orang yang tidak memiliki. Manusia, sentiasa merasakan milik orang lebih bagus, lebih cantik, lebih segala-galanya. 'The grass is always greener on the other side'. Tapi hanya mereka yang melaluinya yang mengalami dan mengetahuinya. Bahkan orang-orang yang 'nampak' kaya, jelita, hidup senang, dalam hatinya juga sunyi dan akhirnya ramai yang membunuh diri. Di mana silapnya?

Kalau nak disenaraikan apa yang membawa kepada kesunyian, gazillion tak terkira. Tapi kenapa kita nak senaraikan yang negatif, sedangkan apa yang kita sudah sedia ada itu tidak ternilai. Rahmat untuk bernafas walau sesaat saja tidak boleh dibeli wang bergazilion juga. Kenapakah kita manusia ini sering kali tidak  bersyukur?


Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.(Hud 11:9)

Kita rasa bersyukur bila memiliki tapi bila kita tidak memilikinya kita tidak bersyukur. Kita bersyukur dengan apa yang fizikal, apa yang kita dapat, apa yang nampak elok di mata sendiri dan mata orang lain, material..lalala.

Kita susah untuk bersyukur dengan benda-benda yang sukar diukur dari kaca mata material atau fizikal.

Syukurlah, masih ada ibu bapa.
Syukurlah, masih ada anggota badan yang sempurna.
Syukurlah, masih boleh berjalan dan tidak kaku di tilam.
Syukurlah, masih boleh menggunakan pancaindera dengan sempurna.

Mari kita ambil langkah proaktif untuk merawat kesunyian.

7 Tips merawat kesunyian:


Lawan sunyi dengan membaca Al-Qur'an


Sunyi tidak sama dengan ketenangan. Hati yang sunyi tidak semestinya tenang. Hati yang tenang, pasti tidak dihinggapi kesunyian. Mari kita baca Al-Qur'an, sumber ketenangan yang penuh dengan panduan dan nasihat. Bila setiap kali baca, setiap itu juga menusuk kalbu dan buat kita merasa kerdil di hadapan Allah. Kenapa kita harus rasa sunyi bila kita ada yang Maha Mendengar dan Melihat?



Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. (Az-Zumar 39:23)

Lawan sunyi dengan Zikrullah (Mengingati Allah)

Mari kita basahkan lidah dan hati dengan banyakkan zikir. Sikit-sikit dulu. Bangun pagi istigfar. Pakai baju Bismillah. Sudah makan Alhamdulillah. Kemudian kerapkan kuantiti dan kualiti bacaan zikir hingga rasa macam kurang kalau tak berzikir. Bila sibuk berzikir, lupa yang kita sunyi dan sendiri.




(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Ar-Ra'd 13:28)

Lawan sunyi dengan cuti sementara dari gadget dan sosial media.

Bila dah terbiasa dengan gadget, handphone, sosial media; rasa kehilangan kalau kita tak setiap hari update atau 'stalk' akaun orang lain. Tapi hakikatnya kita menghabiskan masa dengan perhubungan alam maya yang tak berfaedah.

Tak semuanya itu sia-sia. Teknologi itu berfaedah kalau tuan punya badan berdisiplin menggunakannya untuk tujuan kebaikan.

Mari kita cuba ambil satu hari dari seminggu untuk cuti dari gadget, handphone, sosial media dan sepertinya. Kita fokus baiki perhubungan dengan ibu-bapa, adik-beradik dan saudara-mara baik dekat dan jauh. Whatsapp kan ada...mesej, call, video call..semua boleh sekarang.

Saya ada kawan, setiap hari tanpa gagal dia akan telefon atau video call ibu-bapa dia. Masha Allah. Dia bukan Muslim, tapi buat saya berfikir, sejauh mana kualiti perhubungan saya dengan keluarga dan orang-orang yang saya sayangi.

Pergi solat jemaah di masjid dan tanya khabar. 

Bila ada masa pergi solat jemaah. Sekali seminggu pun jadilah. Tanya khabar mereka dan bawalah buah tangan macam gula-gula, kuih muih dan buah-buahan mengikut kemampuan kita. Sematkan hati untuk istiqomah melakukannya.

Banyakkan senyum.

Senyum pada diri sendiri dahulu, kemudian pada orang yang terdekat dengan kita. Kadangkala, saya sedar saya jarang senyum pada suami dan ahli keluarga. Yelah..sebab bila dah sentiasa depan mata, kita jadi lupa. Mereka juga memerlukan pandangan muka kita yang tidak berkerut dan menyedihkan. 

Buat orang lain ketawa dan jadi pendengar yang setia.

Bila kita sunyi kita nak orang lain dengar cerita kita kan? Pilihlah orang yang kita percayai. Jangan hamburkan perasaan hati di sosial media yang boleh buat situasi jadi lebih parah. Jadi pendengar yang setia untuk sahabat yang memerlukan bermaksud kita sedekahkan masa dan pancaindera kita untuk mereka. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

Cari hobi 

Belajar sesuatu yang baru seperti bela binatang peliharaan, bagaimana berzumba, bagaimana bercucuk tanam di dalam apartment, bagaimana untuk blog, bagaimana untuk buat video yang bermanfaat di Youtube dan sebagainya. Bila kita fokus dengan hobi kita, susah untuk kita berfikir yang kita sunyi. Insha Allah.

Kalau saya simpulkan semua  tips di atas, ada dua perkara utama dalam tips ini:

  1. Perhubungan kita dengan Allah
  2. Perhubungan kita dengan makhluk Allah
Jaga kedua-duanya, insha Allah kesunyian itu akan pergi. Semoga bermanfaat.

0 comments:

Post a Comment