Mencari Pasangan dari Maghribi

Setelah saya berkahwin, saya ada mendapat beberapa pertanyaan di Facebook dan juga Instagram tentang pengalaman saya berkahwin dengan pasangan dari Maghribi. 

Tak kurang juga yang bertanya tentang pengurusan untuk bernikah, pendapat sama ada patut atau tidak bernikah dan juga sama ada pasangan dari Maghribi baik atau tidak dan sebagainya. 

Pada pendapat saya, pertama sekali sebelum bernikah perlulah berniat untuk mencari pasangan yang terbaik dari segi penghayatan agama bukan dari segi tingginya ilmu agama dia (kelulusan ijazah dan sebagainya). 

Jika bakal suami atau isteri mempraktikkan Islam dalam kehidupan seharian, Insha Allah tiada masalah. 

Sama ada dia dari Malaysia atau Maghribi atau dari mana-mana sekalipun, ia bukan satu ukuran keharmonian rumahtangga. 

Baru-baru ini saya mendengar ceramah Ustaz Abdullah di Pesona d'Zahra yang bertajuk 'Di Mana Kita Bertolak'.

Beliau ada mengulas  satu hadith yang masyhur tentang mencari pasangan.

"Biasanya dinikahi wanita itu kerana empat sebab iaitu kerana kecantikannnya,  kerana hartanya, kerana nasabnya (keturunan) dan kerana agamanya. Hendaklah kamu cari  kerana agama maka sejuklah tangan kamu."

Hendaklah kita bermula dengan agama. Jika kita cinta sesuatu kerana Allah dengan ikhlas kerana agama, insha Allah ia (perkahwinan) akan kekal. Boleh dengar di ceramah beliau di sini. 


Kalau berkahwin kerana hensem, badan dia 'S' line dan cantiknya dia dengan mekap; bila dah tua kerepot juga, bila di rumah mekap melayang - muka macam zombie heheh.., baju penuh dengan bau dapur lepas masak.

Sudah-sudahlah bermimpi. Let's face the reality. Tiada siapapun yang sempurna. 

Kalau berkahwin kerana harta, kalau tiba-tiba jatuh miskin dan kena makan roti saja hari-hari? Sanggupkah kita?

Perkahwinan perlukan kesabaran dan pengorbanan. Bagi saya..Rome was not built in a day. Begitu juga dengan perkahwinan. 

Mungkin kita perlu berjauhan dari keluarga dan tidak dapat melawat ibu-bapa kita sekerap seperti ketika sebelum kita berkahwin. Sabarlah...

Kalau berkahwin dengan pasangan yang berlainan negara, kita akan diduga dengan pertembungan dua budaya yang berbeza. Sebagai contoh; orang Maghribi memang makanan ruji mereka roti. Roti mereka tidak seperti di Malaysia macam Roti Gardenia yang lembut.

Kita pula di Malaysia biasanya makan nasi dan kerana perbezaan ini kita kena bersabar dan cuba untuk jadi lebih fleksibel. 

Macam suami saya tidak boleh tidak mesti hendak makan roti, jadi roti memang sentiasa wujud dalam setiap waktu makan tapi saya akan masak nasi juga untuk saya. :) Bagi saya tidak ada masalah. Sabarlah..

Yang menjadi masalah adalah bab agama. Kalau dia tidak solat itu lebih besar dan lebih patut kita risaukan. Bagi saya kalau pasangan kita menghayati agama, insha Allah dia ada akhlak yang baik, bertanggungjawab, amanah dan adil dalam pengurusan rumahtangga. 

Hati pun sejuk dan tenang-tenang saja. Alhamdulillah.

Satu lagi ketika belum berkahwin, adik saya yang pernah belajar empat tahun di Jordan ada mengatakan bahawa orang Arab ni keras ramai yang tidak jujur, suka mencuri, tidak suka gosok gigi :) dan banyak lagi pengalaman yang dia lalui ketika belajar di sana. 

Komen saya; setiap orang mempunyai latar belakang, tahap ilmu dan pemikiran yang berbeza. Setiap orang unik. Kita tidak akan dapat mengawal cara suami atau isteri kita berfikir, memberikan reaksi dan berkata-kata tetapi kita dapat kawal pemikiran dan akhlak kita. 

Saya suka 'observe' reaksi spontan suami saya. Kesimpulan dari pemerhatian saya, apabila saya melakukan lebih banyak kebaikan kepadanya, dia akan membalasnya dengan lebih banyak kebaikan. Subhanallah. 

Jika saya nak dia bertutur dengan bahasa yang lembut, saya akan bertutur dengan bahasa yang lembut terlebih dahulu. 

Jika saya nak dia bersedekah lebih banyak, saya akan tunjukkan dengan memberikan sedekah dengan lebih kerap ketika berjumpa dengan sesiapa yang memerlukan. Tidak banyak, sepuluh sen pun jadi. Tidak perlu membebel, buang tenaga saja. :)

Satu lagi, ilmu rumahtangga sangat penting. Tidak kira sama ada pasangan kita orang Malaysia atau Maghribi. Macam Ustaz Abdullah kata, orang yang soleh dan solehah menjadi tumpuan dan pilihan orang ramai sebagai pasangan hidup. Maka, mari kita lipat gandakan usaha untuk menjadi isteri yang solehah untuk suami dan suami yang soleh untuk isteri.

Semoga Allah permudahkan usaha kita. Amin.

1 comment:

  1. I often visit your site and have noticed that you don't update it often. More frequent updates will give your website higher rank & authority in google.
    I know that writing posts takes a lot of time, but you can always help yourself with miftolo's
    tools which will shorten the time of creating an article to a couple
    of seconds.

    ReplyDelete