Kisah Sup Harira

by - January 16, 2017


Pengalaman saya kali pertama berbuka puasa di Madrid, jiran kami yang berasal dari Maghribi memberikan kami sup Harira sebagai juadah berbuka puasa. Saya memang tidak pernah makan sup seperti ini. Pertama kali saya mencubanya dan saya rasa bolehlah...hehe. Taklah terkejut sangat perut antarabangsa saya ni. :)

Terus terang ketika saya belum berkahwin saya tidak ada minat untuk ambil tahu makanan atau resepi-resepi masakan dari Maghribi. 

Tetapi apabila tiap kali Ramadhan tiba, mahu atau tidak saya memang kena tahu cara memasak sup Harira. 

Suami saya memang dibesarkan dengan masakan Maghribi yang enak kerana arwah ibu mertua saya seorang tukang masak yang terkenal di kampungnya. Tiap kali ada kenduri pasti dia yang jadi ketua memasak. Masha Allah. 

Walau bagaimanapun, saya tiada peluang untuk menimba ilmu dari beliau kerana apabila kami berkahwin beliau telah jatuh sakit kerana kencing manis. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan termasuk dalam golongan hamba-hambaNya yang beriman. Amin.

Arwah ibu mertua saya adalah dari etnik Amazigh keturunan orang asli Maghribi (biasa disebut Berber dalam bahasa Inggeris tapi suami tidak suka perkataan ini sebab Berber maknanya 'Barbaric').

Beliau berkulit gelap, kurus dan tinggi. Beliau boleh bertutur dalam bahasa Amazigh tapi anak-anak beliau dibesarkan dengan bahasa dialek Maghribi (Derija) dan bahasa Sepanyol. 

Hilanglah bahasa Amazigh dalam keturunan keluarga beliau. T_T

Baiklah, kembali kepada sup Harira. Ada pelbagai cara untuk masak sup Harira ni. Setiap wilayah di Maghribi ada resepi mereka dan setiap keluarga pun ada cara mereka yang tersendiri. 

Oleh kerana suami saya berasal dari utara Maghribi maka rasa sup Harira ini pun ada sedikit perbezaan. 

Saya pernah cuba banyak kali memasak sup Harira sebelum ini dengan pelbagai resepi yang saya rujuk dari Youtube tapi tak pernah sekalipun suami puji.

Sehinggalah beberapa hari lepas, tiba-tiba tergerak hati ingin masak sup Harira sebab musim sejuk ni makan sup panas-panas syiokkk. Lepas suami makan, dia kata sup Harira kali ini paling sedap dan lebih kurang 80% rasa dia dengan sup Harira yang asli (mengikut citarasa dia). Alhamdulillah :). Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. 

Rahsianya...saya ikut resepi dari Youtube - Fatemahisokay. 


Resepi Sup Harira


Bahan-bahan:

500 gram daging lembu atau kambing (saya guna daging lembu dan pilih bahagian yang bertulang)

1 mangkuk kacang kuda yang telah direndam satu malam

1/2 mangkuk kacang lentil (klik sini untuk gambar) direndam dalam 30 minit

3 biji bawang Holland sederhana besar dipotong halus

2 atau 3 batang saderi di potong halus

6 biji tomato yang merah, sederhana besar, dibuang kulit dan dikisar

satu genggam daun ketumbar, dipotong halus

satu genggam daun parsley, dipotong halus

1/2 sudu teh serbuk lada hitam

1/2 sudu teh serbuk kayu manis

1 sudu besar serbuk halia 

1/2 sudu teh kunyit

1/2 sudu teh serbuk paprika manis (pimenton dulce) - optional

2 sudu besar pes tomato

2 liter air suam

3 sudu besar minyak zaitun atau minyak sayuran.

1 sudu besar tepung jagung dan sedikit air

3 sudu besar pasta fideo

1 biji telur - optional

garam dan serbuk lada hitam

Cara penyediaan:

Panaskan minyak zaitun. Goreng daging hingga sedikit coklat dan asingkan dalam satu mangkuk.

Goreng bawang hingga naik bau dan masukkan saderi. Masak hingga layu. 

Kemudian masukkan daging, kacang dal, kacang lentil, semua rempah, tomato dan air. Masak hingga mendidih kemudian masukkan daun ketumbar dan parsley. Masak dengan api sederhana hingga daging dan kacang-kacang lembut. Lebih kurang satu jam atau setengah jam dengan periuk tekanan tinggi. 

Kemudian masukkan pasta angel (fideo) masak hingga pasta lembut.

Selepas itu masukkan tepung jagung yang sudah dibancuh dengan air untuk memekatkan sup Harira. 

Akhir sekali pukul sebiji telur dan masukkan sedikit demi sedikit ke dalam sup. 

Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam mengikut citarasa. Tambah lagi air suam jika tidak mahu sup terlalu pekat. 

**Masa saya masukkan 1 sudu besar serbuk halia, saya fikir..betul ke ni? Kuat bau sup ni..tapi lepas 2 jam, bau halia tu hilang. Tinggal rasa sup yang lazat je. :)

Masa penyediaan: 2 ~ 3 jam. Lebih cepat dengan periuk tekanan tinggi. Oleh kerana banyak masa diperlukan untuk memasak sup Harira, biasanya saya akan masak satu periuk besar yang kami boleh makan untuk 2~3 hari. 

Suami saya kata sup Harira kena ada rasa masam-masam sikit disebabkan oleh tomato. Kalau tak masam bukan harira katanya. Sup Harira juga dimakan bersama kurma dan manisan-manisan Maghribi ketika berbuka puasa. 


Harga dan menu di Restoran Az Zahra di Masjid M30, Madrid. 

Akhir tahun 2016, saya bertemu dengan dua kumpulan pelancong dari Malaysia yang telah menikmati sup Harira ini di Restoran Al-Zahra, Masjid M30 di Madrid. Reaksi mereka, ada yang boleh makan dan ada yang tidak. Mungkin tidak biasa. 

Ada satu cerita kelakar. Saya pergi ke kedai untuk membeli daging halal dari Kedai Maghribi.

Saya kata saya nak buat sup Harira tapi tuan kedai terus ke belakang dan keluarkan satu kotak sup Harira segera. Hahaha...saya kata saya nak buat sendiri. Dia ketawa sebab dia tahu saya bukan orang Maghribi jadi dia fikir, mestilah saya nak guna yang segera saja. Mudah dan cepat.

Selamat mencuba resepi di atas!

You May Also Like

2 comments