Iktibar dari Sejarah Andalusia

by - November 30, 2016

Musim luruh sedang semarak di Madrid. Di mana-mana kaki ini melangkah, penuh dengan keindahan semulajadi lambang kebesaran Allah. سبحان الله.


Sesi dua untuk Semester 1 bagi Program Intensif Bahasa Arab di Islamic Online University sudah bermula 24 November yang lalu. Saya sudah dapat rasakan kepanasan otak sedikit demi sedikit. Heheh..

Kalau sesi yang lepas masa, yang diberikan untuk satu kuiz adalah 15 minit untuk 5 soalan tetapi kali ini 20 minit untuk jumlah soalan yang sama. Ini kerana ilmu yang dipelajari mulai kompleks dan memerlukan tahap ketabahan yang tinggi. Semoga Allah berikan kekuatan pada saya untuk menamatkan kuliah ini. Amin.

Bulan November juga sudah di penghujungnya dan hanya tinggal satu bulan saja lagi sebelum masuk ke tahun 2017.

Apakah yang kita sudah capai untuk tahun 2016?

Dari segi ibadah khusus dan ibadah sunnah.

Dari segi penambahan ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah.

Dari segi pemahaman Al Qur'an dan Hadith Rasulullah SAW.

Adakah lebih baik pada tahun ini? 

Atau..

Berapa banyakkah negara yang kita dah lawat tahun ni?

Berapa banyakkah beg berjenama yang kita sudah kumpul?

Berapa banyakkah Pandora yang kita dah berjaya buat koleksi?

Tidak salah mengumpul harta dan menikmati duniawi tetapi tidak lupa juga diseimbangkan dengan harta kita untuk akhirat nanti. Sebagai renungan. ^^


Mari kita bina azam tahun depan dengan tiga saranan dari Ustaz Nouman Khan, Insha Allah. Boleh lihat video di atas. 

Dalam bulan November ini saya sangat bersyukur kerana dapat bertemu kawan-kawan dari Malaysia yang datang bersendirian dan juga melalui agensi pelancongan dengan tema lawatan Andalusia.

Mahu atau tidak, apabila saya sudah tinggal di Sepanyol ni, sejarah Islam terutamanya kegemilangan Andalusia memang sangat dekat di hati. Kegemilangan Islam berakhir di Eropah di bumi Sepanyol dan banyak yang perlu kita pelajari dari kisah sejarah Andalusia.

Ketika bertemu dengan dua kumpulan pelawat dari Malaysia baru-baru ini, mereka mengatakan bahawa apa yang mereka ingin tahu adalah tentang sejarah Islam di Andalusia tetapi pemandu pelancong bangsa Sepanyol lebih banyak menerangkan tentang sejarah dari kacamata mereka. 

Ada rasa sedikit hampa di situ. 

Melawat ke Andalusia bukan hanya untuk menikmati pemandangan kejatuhan Islam di Andalusia, membeli belah dan makan-makan tetapi kita juga perlu mengambil iktibar dari sejarah Andalusia. 

Dari pencarian saya, saya bertemu dengan video tentang iktibar dari sejarah Andalusia oleh Dr. Tariq Al Suwaidan dalam bahasa Arab dengan sarikata bahasa Inggeris. 

Sarikata bahasa Inggerisnya mungkin ada sedikit kekurangan dan sedikit pelik (mungkin kerana tiada terjemahan yang tepat dan sesuai) tetapi kalau kita cuba memahami dengan penghayatan apa yang Dr. Tariq ingin sampaikan, insha Allah kita akan dapat pengisiannya.

Video-video ini boleh dilihat mengikut turutan di bawah:


Saya rasa video terakhir di atas ada sambungannya tetapi tidak disertakan di Youtube.

Menurut beliau, sejarah akan berulang. Apa yang pernah berlaku di Andalusia adalah apa yang kita alami sekarang. Jika kita tidak mengambil iktibar dari sejarah Andalusia kita akan mengulangi kesilapan yang sama. 

Istana Alhambra lambang kegemilangan Islam dan juga lambang kejatuhan Islam. 

Apabila pemimpin tidak amanah, tidak telus, menyalah gunakan kekayaan negara untuk kemewahan sendiri, membiarkan rakyat hidup melarat dan kepayahan, kerajaan tersebut goyah dan mudah hancur.

Apabila kita menyibukkan diri dengan urusan duniawi.

Kita lupa pada tanggungjawab yang telah Allah berikan kepada kita. Lupa bahawa kita tidak akan hidup lama di dunia fatamorgana ini dan lupa bahawa kita akan dibangkitkan untuk menjawab apakah yang telah kita lakukan dengan masa, harta, anak-anak kita dan segala nikmat dari Allah yang telah direzekikan olehNya kepada kita.

You May Also Like

0 comments