Iman Restoration Therapy - Terapi Pemulihan Iman

by - June 15, 2016

Alhamdulillah, hari ini hari ke-10 Ramadhan 1437H. Sudah sepertiga Ramadhan. Tinggal lagi dua pertiga Ramadhan untuk kita berusaha mencari pengampunan Allah sebanyak mungkin. Bi iznillah.

Saya telah mengaplikasikan idea-idea oleh laman Productive Muslim sebagai platform untuk melalui Ramadhan kali ini dengan strategi yang lebih baik dari tahun lepas. 

Alhamdulillah, satu laman yang sangat baik untuk mereka yang ingin menjadi lebih produktif pada bila-bila masa tetapi untuk Ramadhan adalah lebih bermakna kerana setiap saat yang kita gunakan untuk kebaikan, Allah akan lipatgandakan kebaikan untuk kita sesuai dengan usaha yang kita telah lakukan dan hanya Allah saja yang Maha Mengetahui.

Semoga Allah membalas usaha krew-krew Productive Muslim dengan sebaik-baik balasan. Amin.

Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu berkata, Rasulullah sallallahu’alai wa sallam bersabda,
"Allah berfirman, ‘Semua amal anak Adam untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya."
Hadis Qudsi diriwayatkan oleh Bukhari, 1761 dan Muslim, 1946

Inilah keberkatan Ramadhan yang mesti kita kejar.

Semalam....

pertama kali saya telah 'register' laman academia.edu. Walaupun saya telah lama meninggalkan universiti iaitu pada tahun 2000 tetapi entah kenapa, sambil melayari internet saya secara tiba-tiba ditemukan kepada laman ini. Masha Allah.

Mungkin kerana saya tiba-tiba teringat rakan-rakan di Warwick University yang saya kenali rata-rata akan menamatkan phd mereka dan kembali ke Malaysia pada musim panas tahun ini. Banyak sangat kenangan yang indah di sana ketika bersama mereka. Masha Allah.

Saya lama tidak menulis. Sejujurnya saya rasa berbelah bahagi untuk menulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menulis dalam bahasa yang saya selesa pada dan masa ketika saya tergerak hati untuk menulis pada hari itu.

Untuk hari ini, mari kita martabatkan Bahasa Melayu. (Maaf-walaupun saya tidaklah menggunakan tatabahasa Bahasa Melayu yang tepat, tetapi semoga apa yang ingin disampaikan itu difahami oleh semua yang membaca. Bi iznillah).

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu. (Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah Bab : إنما الأعمال بالنية)

Pagi ini...

Apabila saya bangun pagi, saya telah mendapat satu email dari academia.edu. Satu penulisan oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa yang bertajuk "Iman Restoration Therapy (IRT): A New Counseling Approach and its Usefulness in Developing Personal Growth of Malay Adolescent Clients".

Satu tajuk yang sangat menarik. Ini kerana apabila saya telah mengambil kursus pendek di Islamic Online University (IOU) berkenaan Psikologi dari perspektif Islam, seolah-olah satu pintu telah dibuka dalam minda dan hati saya dan membuatkan saya lebih berminat untuk menyelidiki bidang ini. Masha Allah.

Di IOU, saya telah didedahkan kepada banyak bahan bacaan antaranya adalah karya Dr. Aisha Hamdan - Nurturing Eeman in Children. Boleh di muat turun di sini

Berbalik kepada tajuk, tidak dapat tidak objektif penulisan kertas penyelidikan yang sangat menarik oleh para ilmuwan seperti tersebut di atas (Terapi Pemulihan Iman) membuatkan saya terus membacanya sehingga habis! Saya jarang dapat baca kertas ilmiah sehingga habis kerana gaya penulisan yang terlalu tinggi tahap pemahamannya membuatkan saya cepat bosan tetapi Subhanallah, kali ini lain pula ceritanya.

Secara kesimpulan dari pembacaaan saya, inilah yang didahagakan oleh remaja Muslimin kini yang saban hari semakin stress dan akhirnya memberi kesan kepada mental mereka iaitu terapi pemulihan iman.

Malangnya remaja Muslimin kini melalui psikoterapi dari pakar yang kurang mementingkan nilai keagamaan, ateis kesan daripada kepercayaan sekular. Lebih-lebih lagi pakar-pakar tersebut telah mempelajari bidang mereka seperti psikologi atau psikoterapi dari perspektif sekular dan bukan dari perspektif Islam.
Kita perlukan lebih ramai pakar psikologi dan psikoterapi dari perspektif Islam di dunia sekarang. Noktah.
Di dalam penulisan ilmiah, pakar penyelidik ada menyebut tentang 'sense of meaning and purpose in life' - makna dan tujuan hidup sebagai salah satu fitrah manusia dan tanpanya adalah antara satu sebab kenapa manusia mengalami kehampaan.

Saya mula bertanya persoalan ini di dalam hati saya ketika saya berumur 27 tahun. Apa yang telah menyebabkan saya bertanya soalan ini adalah apabila rata-rata rakan saya ramai yang telah berkahwin dan mempunyai anak. Secara tak langsung, desakan ibu bapa, persoalan dari rakan-rakan yang bertanya "Bila mahu kahwin? Dah ada pasangan?" telah mencetuskan persoalan yang lebih besar dalam minda saya.

Iaitu.... Apakah makna dan tujuan aku hidup dalam dunia ini?

Adakah aku lahir untuk melalui satu acuan yang sama untuk semua:
belajar sungguh-sungguh, dapat segulung ijazah, cari pekerjaan bergaji tinggi, melancong ke sana-sini, beli kereta, beli rumah, kahwin, melahirkan anak (wash, rinse, repeat cycle).

Kenapa saya tidak tahu tujuan atau makna saya hidup sebelum umur saya 27?

Kerana saya tidak membaca Al-Qur'an dengan maknanya. Allah telah beri jawapan untuk saya di dalam Al-Qur'an pada banyak ayat-ayatNya. Saya cuma membaca Al-Qur'an tetapi tidak memahaminya. Sehinggalah pada umur 29 tahun, saya telah mengembara ke Jepun seorang diri dan membawa Al-Qur'an kecil bersama saya.

Pada masa itu saya fikir, bawa Al-Qur'an hanya sebagai pelindung atau berkat. Mentaliti sempit saya ketika itu. Kelakar kalau diingatkan semula. Tetapi....disebabkan itu juga, saya mula membaca Al-Qur'an beserta terjemahan, melakukan banyak pemerhatian, muhasabah, mujahadah, uzlah bersendirian ketika saya mengembara seorang diri dan sesungguhnya mukjizat Al-Qur'an itu muncul ketika saya mula berusaha untuk memahaminya - dengan hidayah dari Allah. Alhamdulillah.
Al-Qur'an bukan sebuah buku yang kita boleh baca seperti novel. Ia memerlukan usaha untuk membaca, memahaminya.
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.”
(QS. Adz-Dzariyaat [51]: 56)

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ
“Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (QS. Al Mukminun [23]: 115)

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat:
“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”.” (QS Al Baqarah : 30)

Sejak dari itu, saya melihat dunia dan kehidupan dari mentaliti dan perspektif berbeza.
Letakkan dunia di tangan, bukan di hati.
Kejarkan akhirat yang abadi, bukan dunia yang sementara.
Saya tidak berkesempatan untuk bergaul dengan orang-orang yang arif tentang agama Islam ketika zaman remaja atau boleh saya kata saya rasa ada seperti satu kuasa penolakan yang kuat dalam hati saya ketika rakan-rakan usrah mengajak saya untuk bersama berdiskusi dengan mereka.

Inilah dia tipu daya syaitan yang dia telah pahatkan di dalam Al-Qur'an, hati yang tidak bersih dan tidak dinafikan kelemahan nafsu diri saya sendiri.

Perkara yang jahat, syaitan akan nampakkan baik dan menarik pada pandangan manusia. Melakukan perkara melalaikan lebih seronok daripada mendengar tazkirah atau menyertai usrah, waktu saya jahil dulu.

Ini telah mencetuskan kata kecil di dalam hati saya ketika saya berumur 13 tahun dan tinggal di asrama yang jauh dari keluarga. Di dalam asrama, pelajar-pelajar nakal disanjung oleh rakan-rakan dan pelajar yang baik dibuli dan kelihatan membosankan. Saya terfikir,"Bukankan mereka berbuat perkara yang jahat tetapi kenapa mereka diagungkan dan nampak lebih hebat?" Pelik.

Dan ini juga Allah telah jawab di dalam Al-Qur'an dan Rasulullah SAW hadir sebagai model terbaik untuk menyempurnakan akhlak manusia dengan sunnah baginda.

Sungguh Maha Bijaksana Allah yang menurunkan ayat pertama dalam Al-Qur'an iaitu:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
“Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan“
(QS Al ‘Alaq: 1)

Kerana tanpa membaca Al-Quran dan tanpa ilmu...saya tidak mungkin akan dapat mengetahui apa yang saya ketahui sekarang dan tidak mungkin saya tahu apakah makna dan tujuan hidup saya di bumi Allah ini. Subhanallah.

Benarlah kata-kata Allah. “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (QS Al Baqarah : 30)

Mari kita baca Al-Qur'an dan khatam bersama terjemahannya pada Ramadhan kali ini. Insha Allah.

Sedikit tentang kehidupan...

Sekarang musim panas di Madrid dan kelihatan banyak bunga yang sedang mekar. Udaranya kering, hidung saya senang berdarah di sini. Walaubagaimanapun, langit masih biru, matahari masih memancar terang dan oksigen masih percuma, tidak perlu dibayar. Semuanya dari Allah.
Alhamdulillah.

Ini adalah antara bunga-bunga yang sempat digambarkan antara pertengahan Mei hingga awal Jun 2016.




You May Also Like

1 comments